Tak hirau kontroversi babak panas, filem Pulau 2 bakal diterbitkan - Utusan Malaysia

Tak hirau kontroversi babak panas, filem Pulau 2 bakal diterbitkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi adegan panas keterlaluan yang melanda filem Pulau, syarikat penerbitan, WebTVAsia, mengesahkan bahawa sekuel filem tersebut bakal diterbitkan pada tahun hadapan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, penerbitnya, Fred Chong berkata, pihaknya kini sedang dalam proses merangka keseluruhan aspek penerbitan filem tersebut termasuk menyenarai pendek barisan pelakon yang akan terbabit untuk naskhah terbaharu itu.

“Tidak dinafikan, saya memang sudah bersedia untuk hasilkan sekuel filem itu walaupun sedar Pulau begitu mendapat tentangan daripada sebahagian pengkritik dan penonton tempatan.

“Namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk terbitkan sekuel filem itu yang akan menyaksikan kerjasama antara produksi Malaysia dan Indonesia.

“Kemungkinan kali ini saya akan pilih barisan pelakon yang berbeza melibatkan dua negara. Sudah ada beberapa pelakon yang saya senarai pendek, tetapi belum boleh dimaklumkan lagi,”katanya.

Selain itu, jelas Fred, sekuel filem berkenaan tidak akan menyajikan kesinambungan daripada naskhah pertama dan sebaliknya akan bertumpu sebagai sebuah naskhah lebih segar.

“Bagaimanapun untuk saya maklumkan secara terperinci mengenai Pulau 2, rasanya masih belum sesuai. Cuma, apa yang boleh diberitahu, sebagaimana Pulau, saya akan kekalkan elemen kepelbagaian kaum di Malaysia.

“Tentang hal lain, saya tidak mahu buka mulut lagi. Tahun ini pun saya ada beberapa buah projek filem lain yang perlu diberi tumpuan. Jadi, tunggu tahun hadapan untuk Pulau 2,”katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sambutan tayangan Pulau di Singapura, Indonesia dan Vietnam, Fred berkata, pihaknya sangat teruja dan berbangga kerana filem arahan Euho itu menerima respons yang sangat positif daripada penonton luar negara.

Katanya, di Vietnam misalnya, filem Pulau dalam versi tanpa suntingan itu setakat hari ini telah mencatatkan kutipan sebanyak RM400,000 dalam tempoh 4 hari tayangan di negara tersebut.

“Ia sesuatu yang positif buat filem kita kerana sebelum ini pun mana-mana tayangan filem Malaysia di negara tersebut tidak pernah mendapat jumlah kutipan sebanyak itu.

“Jadi bagi saya, ia sesuatu perkembangan yang baik sekali gus menyaksikan betapa orang luar menghargai karya filem anak tempatan.

“Barisan pelakon yang kami bawa untuk mempromosikan filem ini ke negara-negara tersebut juga meluahkan rasa terkejut kerana menerima sambutan yang sangat mengagumkN daripada penonton luar,”katanya.

Terdahulu, filem Pulau mendapat banyak cemuhan dan kritikan kerana didakwa sengaja menyelitkan babak panas bak porno dalam naskhah tersebut.

Filem bergenre ‘supernatural thriller’ dan mistik itu telah dibarisi pelakon popular seperti Alif Satar, Amelina Henderson, Ikmal Amry, Ms Puiyi dan Joey Leong.

Untuk info, kutipan tayangan filem ini di Malaysia merekodkan jumlah sebanyak RM3 juta dalam tempoh dua minggu tayangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya