SIS Forum mohon kebenaran rayu - Utusan Malaysia

SIS Forum mohon kebenaran rayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung fatwa mengisytiharkan organi­sasi itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.

Ia difailkan SIS Forum dan pe­ngasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, 14 April lalu. Bagi kes sivil, pihak tertentu atau individu perlu mendapatkan kebenaran sebelum dibenarkan merayu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 2014, Ja­wa­tan­kuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalis­me dan plura­lisme, bertentangan dengan ajaran Islam.

Fatwa itu diwartakan pada 31 Julai tahun sama.

Pada 14 Mac lalu, Mah­kamah Rayuan menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fat­wa tersebut.

Dalam penghakiman majoriti oleh Hakim-ha­kim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan tiada sebarang kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mah­ka­mah Rayuan campur ta­ngan.

Dalam penghakiman menentang oleh Hakim Datuk M. Gunalan menya­takan Hakim Mahkamah Tinggi terkhi­laf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman bahawa res­ponden pertama (Jawatankuasa Fatwa) bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN