KUALA LUMPUR: Pelakon cantik, Siti Khadijah Halim, 26, memaklumkan tidak akan sesekali membiarkan dirinya terkait dengan cinta lokasi.
Kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia sebolehnya mahu mengelak perkara itu dan lebih memilih untuk berkawan dengan mereka yang bergelar artis atau selebriti.
“Saya tak minat dengan cinta lokasi. Perkara itu tidak akan berlaku kerana cara layanan saya dengan rakan pelakon lain terhad sebagai sahabat sahaja. Saya mahu mereka ‘friend zone’ saya.
“Industri seni kita kecil. Kalau bercinta dengan pelakon atau mana-mana artis, esok lusa bila putus, kita akan hadap semula muka masing-masing. Saya rasa tak seronok begitu.
“Kalau boleh saya nak berkawan lama. Tapi nak cakap lebih tak boleh juga, takut esok lusa jodoh saya dengan artis. Apa pun saya cuba elak,” katanya panjang lebar.
Mengulas tentang jodoh, pelakon filem Hantu Tenggek ini memaklumkan tidak tergesa-gesa untuk membina rumah tangga, sebaliknya menyerahkan soal itu kepada ketentuan Tuhan.
“Dahulu saya letak sasaran untuk berkahwin pada usia 26 tahun. Tetapi perkara itu tidak menjadi kerana percintaan saya dengan bekas kekasih terputus di tengah jalan.
“Saya tak pernah sedih dengan apa yang berlaku. Saya menganggap ia aturan Allah yang cantik. Sekarang saya tak letak apa-apa sasaran, ada jodoh, adalah.
“Yang penting, siapa pun lelaki itu, dia kena ambil hati ibu saya terlebih dahulu. Restu ibu pada saya lebih utama,” katanya.