MELAKA: Hanya satu daripada 10 jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) belum diisi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau berkata, jawatan Timbalan Exco yang belum diisi adalah bagi portfolio Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO di bawah V. Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek.
“Kita sedang menunggu keputusan daripada mereka (ADUN) yang tidak dapat dihubungi sampai hari ini. Nanti kita akan maklumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pertama di Hotel Ames, Ayer Keroh di sini.
Seramai tujuh ADUN daripada Barisan Nasional (BN) termasuk dua blok Pakatan Harapan (PH) disenaraikan berada dalam senarai Timbalan Exco yang diwujudkan semula.
Antara ADUN yang belum memegang sebarang jawatan ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (Lendu), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia) dan Datuk Lim Ban Hong (Klebang).
Ab. Rauf berkata, pelantikan Timbalan Exco adalah bagi memantapkan struktur organisasi pentadbiran baharu Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di negeri ini.
Menurutnya, kemudahan yang akan diterima bagi ADUN yang memegang jawatan tersebut adalah seperti kenderaan rasmi dan pemandu.
“Mereka ini hanya menghadiri mesyuarat post Exco dengan tujuan maklumat-maklumat daripada mesyuarat Exco secara langsung dapat membantu dan memberikan sumbangan membangunkan kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN