PUTRAJAYA: Suasana kelam-kabut umat Islam melakukan persiapan Aidilfitri tahun lalu kerana anak bulan Syawal tiba-tiba kelihatan kemungkinan besar tidak terjadi pada kali ini.
Malah menurut pakar falak terkenal tanah air, Hanafiah Abdul Razak, cahaya hilal tersebut juga dijangka sukar untuk dicerap kerana kedudukan jasad terlalu dekat dengan matahari.
Justeru, beliau yang juga antara anggota panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi bayangan bahawa tiada insiden panik Hari Raya ‘terkejut’ akan berlaku.
“Berdasarkan pengalaman saya sendiri dan kiraan kebolehnampakan dengan mata kasar, anak bulan Syawal 1444 Hijrah agak sukar untuk dilihat jelas,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan Jabatan Mufti Selangor ada memberikan gambaran awal yang umat Islam di negara ini bakal berpuasa genap 30 hari hingga 21 April depan.
Ia susulan pengiraan data dari Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam yang mengunjurkan anak bulan gagal memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan kedudukannya.

Terbaharu, Jakim menerusi kenyataan menafikan pihaknya ada menerbitkan takwim yang menyatakan konon sudah menetapkan terlebih dahulu tarikh 1 Syawal pada 21 April ini.
Sebaliknya, agensi itu memohon umat Islam agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya yang akan diumumkan nanti oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, penilaian data secara terperinci turut dilakukan beliau berdasarkan hisab atau kiraan di titik paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak, Kedah.
“Pada hari rukyah 29 Ramadan atau 20 April kelak, anak bulan Syawal dijangka al-ijtima’ atau lahir pukul 12.16 tengah hari ketika berlaku gerhana matahari separa,” tambahnya.
Fenomena yang berulang setiap 35 bulan itu akan berlaku mulai pukul 11.04 pagi serta berakhir 12.44 tengah hari dengan bulan dilihat bakal berada di sebelah kanan matahari.
Namun ujarnya, bulan dijangka terbenam pukul 7.43 petang dan berada di ufuk atau kaki langit arah barat selama 12 minit daripada waktu matahari terbenam pukul 7.31 petang.
Hilal pula, kebiasaannya muncul 10 minit selepas terbenam matahari dan situasi itu akan menyebabkan cuma ada baki dua minit sebagai masa terbaik cerapan jasad anak bulan.
Sehubungan itu, berdasarkan hisab di Pulau Perak, altitud atau ketinggian bulan daripada matahari ialah dua darjah dua minit dan elongasi atau jarak lengkung dua darjah 15 minit.
Dua kiraan itu kata Hanafiah, menunjukkan hilal Syawal gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah yang ditetapkan Jakim pada 2021 lalu kerana kedudukan darjahnya terlalu kurang.
“Apatah lagi menurut disiplin ilmu falak turath Islam, kedudukan jarak lengkung agak dekat menjadikan sukar pasukan pencerapan melihat cahaya dari jasad anak bulan,” jelasnya.
Oleh itu ujar beliau, hilal secara hisab dianggap tidak kelihatan pada tarikh tersebut dan umat Islam akan berpuasa sehari lagi keesokan sebelum dapat berhari raya pada lusa.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penetapan tarikh 1 Syawal tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 20 April depan.










