Sabeel jadi inspirasi usahawan ayam sedekah makanan - Utusan Malaysia

Sabeel jadi inspirasi usahawan ayam sedekah makanan

ORANG ramai tidak ketinggalan mendapatkan bungkusan makanan daripada Rumah Makan Percuma di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sempena Ramadan kali ini, 200 pek makanan diagihkan kepada orang ramai di seluruh negeri ini dan Perlis sebagai mengimarahkan amalan bersedekah oleh sebuah syarikat ayam.

Menurut usahawan, Mazlina Kamarudin, 55, yang juga Pe­ngarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), ia mengambil idea daripada konsep sabeel atau sedekah makanan di jalanan di Mekah, program itu adalah kesinambungan daripada Rumah Makan Percuma (RMP) di Simpang Empat, di sini.

“Sepanjang Ramadan ini makanan dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai di RMP. Daripada situ timbul idea, kenapa kita tidak bawa RMP kepada orang ramai kerana ramai yang nak datang ke RMP tetapi jauh.

“Setiap hari 200 hingga 250 pek makanan diagihkan sejak 1 Ramadan lalu di Perlis dan ming­gu ini di Kedah. Alhamdulillah sambutan menggalakkan kerana kita pilih lokasi tumpuan orang ramai seperti bazar Ramadan,” katanya di sini.

Menurut Mazlina, selain bersedekah kepada golongan yang memerlukan untuk meringankan beban mereka, program itu diharap dapat memberi inspirasi kepada orang ramai agar turut bersedekah.

“Sabeel ini akan bergerak setiap hari kecuali Sabtu bermula pukul 5.30 petang. Juadah sama sahaja seperti di RMP iaitu nasi, menu ayam, sayur dan sambal belacan. RMP di Simpang Empat juga masih berope­rasi seperti biasa bermula pukul 4.30 petang,” katanya.

Tambah beliau, RMP diwujudkan pada Julai 2020 sebagai usaha meringankan beban orang ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN