Rumah Terbuka Malaysia Madani platform terbaik untuk rakyat

Rumah Terbuka Malaysia Madani platform terbaik untuk rakyat

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang akan diadakan di negeri ini pada hujung minggu ini merupakan platform terbaik kepada seluruh rakyat Kedah bersua muka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program itu tidak wajar dilabelkan sebagai pembaziran kerana ia adalah sebuah majlis yang bertujuan untuk meraikan rakyat Kedah melalui jamuan makan yang bersempena sambutan perayaan Aidilfitri.

Beliau berkata, tidak timbul soal untung rugi dalam penganjuran majlis itu jika akhirnya yang mendapat manfaat adalah rakyat.

“UMNO Kedah ingin menyatakan keterbukaan dalam menerima keputusan kerajaan Pusat untuk menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri yang bakal diadakan di Hotel Raia, Alor Setar.

“Ia sudah semestinya akan menjadi sebuah platform terbaik kepada seluruh rakyat negeri Kedah beramah mesra bersama Perdana Menteri serta barisan Kabinet daripada kerajaan Perpaduan yang bakal hadir.

“Mungkin ia juga dapat menyediakan peluang kepada rakyat untuk mendengar sendiri amanat daripada Perdana Menteri tentang visi dan misi kerajaan untuk membangunkan setiap negeri di Malaysia terutamanya untuk negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menganggap majlis rumah terbuka melibatkan enam negeri sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Kata beliau, program terbabit melibatkan kos yang tinggi sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan supaya langkah penjimatan dibuat oleh semua pihak.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail berkata, semua pihak termasuk Muhammad Sanusi bebas untuk menghadiri rumah terbuka berkenaan kerana majlis itu sememangnya dianjurkan untuk orang ramai tanpa ada yang terkecuali.

Sementara itu, Mahdzir berkata, UMNO Kedah ingin mencadangkan supaya lebih banyak majlis jamuan di peringkat negeri-negeri diadakan kerana ianya dapat mendekatkan lagi hubungan rakyat dengan barisan jentera kerajaan di peringkat pusat.

“Sehubungan itu, seluruh rakyat Kedah digesa supaya janganlah mempersia-siakan peluang ini dan hadirlah untuk memeriahkan suasana dan menjamu selera di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang bakal dianjurkan pada 29 April nanti,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya