PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di tiga negeri pembangkang tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Beliau berkata, ini kerana penganjuran majlis sama turut akan diadakan di tiga lagi negeri lain.
“Negeri ada banyak. Semua ada. Selangor pun ada. Tak benar (kerajaan hanya tumpu untuk buat di negeri pembangkang),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai solat Jumaat di Masjid As-Salam di Sri Manja di sini.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, Perdana Menteri tidak akan mengadakan Rumah Terbuka di kediaman rasmi beliau di Kompleks Seri Perdana sempena sambutan Aidilfitri 2023 pada 1 Syawal 1444H.
Sebaliknya buat julung kalinya, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan diadakan di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Susulan itu, ramai menyifatkan penganjuran itu ada kaitan dengan PRN yang akan berlaku di tiga negeri itu tidak lama lagi. – UTUSAN