Ribut: Sekelip mata sahaja bumbung sekolah terbang - Utusan Malaysia

Ribut: Sekelip mata sahaja bumbung sekolah terbang

Wan Ramzi Wan Ali (kanan) menunjukkan sebahagian bumbung kantin Sekolah Kebangsaan Ujong Batu, Kangar, Perlis yang rosak dalam kejadian ribut semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kejadian ribut menyebabkan kerosakan pada keseluruhan bahagian bumbung blok pentadbiran dan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ujong Batu di sini, semalam.

Menurut pengawal keselamatan sekolah itu, Rimi Sazali, 35, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari arah blok satu tingkat tersebut.

Rimi berkata, pihaknya amat terkejut apabila mendapati sebahagian bumbung blok itu telah diterbangkan angin kencang ke arah kantin dan rumah penduduk yang terletak bersebelahan bangunan tersebut.

“Ini merupakan pertama kali kejadian ini berlaku sepanjang saya bertugas dan angin kuat bersama hujan lebat itu juga hanya berlaku dalam tempoh singkat sahaja iaitu sekitar 10 minit,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Kanan I, SK Ujong Batu, Wan Ramzi Wan Ali berkata, kejadian itu telah menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung blok yang menempatkan kemudahan pejabat, empat buah kelas dan sebuah bilik Sains.

Katanya, kelengkapan di bangunan itu seperti meja, kerusi, komputer, mesin pencetak dan beberapa lagi turut musnah akibat daripada kejadian tersebut.

“Bagi anggaran kerugian pada bahagian fizikal blok ini adalah dianggarkan lebih RM200,000 namun jumlah itu tidak termasuk kerosakan peralatan-peralatan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ramzi berkata, pihaknya juga bersyukur kejadian itu berlaku pada cuti hujung minggu dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa khususnya membabitkan murid mereka.

Katanya, seramai 174 murid sekolah itu turut diberikan cuti lebih awal bermula hari ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan kerja-kerja baik pulih blok terlibat.

“Jabatan Pendidikan negeri telah memberikan cuti bencana kepada murid-murid ini atas faktor keselamatan di samping memudahkan proses kerja baik pulih dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian antara pukul 2.20 petang hingga 3 petang itu, beberapa kawasan sekitar Kangar dan Arau dilaporkan terjejas berikutan daripada kejadian ribut petir dan angin kencang.

Susulan itu, sebanyak 23 kes turut direkodkan setakat pukul 6 petang semalam melibatkan pelbagai premis kediaman, bangunan sekolah, perniagaan dan gerai penjaja susulan kejadian itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya