PETALING JAYA: Selepas kejayaan telefilem Saat Hilang Cintamu yang disiarkan di slot cerekarama TV3 dua minggu lalu, produksi Zeel Production kembali dengan buah tangan baharu berjudul Mendarat di Syurga, malam ini.
Telefilem yang diarahkan oleh Feroz Kader itu membariskan pelakon terkenal seperti Siti Saleha, Syafiq Kyle, Nad Zainal, Aida Khalida dan ramai lagi.
Mendarat di Syurga mengenang semula kisah tragedi pesawat MH17 yang terhempas serta misteri kehilangan MH370 hampir sedekad lalu.
Menurut Feroz, hal terpenting dalam sesebuah karya adalah idea dan skrip yang kuat.
Jelasnya, tidak banyak syarikat produksi yang berani tampil untuk menghasilkan cerita berlatar belakangkan nahas kapal terbang.
“Kekuatan telefilem ini adalah daripada idea asal dan skripnya. Saya kagum dengan keberanian Zeel Production dalam menghasilkan satu naskhah yang berat.
“Satu penghargaan daripada TV3 dan Zeel Production kerana memberikan peluang untuk saya mengarahkan telefilem ini.
“Komitmen daripada semua pihak yang terlibat sangat baik. Semoga mesejnya sampai kepada penonton,” katanya.
Mengulas lanjut, Feroz berkata, kekuatan naskhah ini terletak pada nilai nilai kasih sayang dan kekeluargaan yang diangkat antara sahabat, ibu bapa, anak serta suami dan isteri.
“Banyak elemen yang penonton akan dapat daripada telefilem ini. Saya bersemangat nak buat yang terbaik kerana ceritanya sendiri,” kongsinya.