Rakyat Sudan hidup dalam ketakutan

Hidup dalam ketakutan di Sudan

Keadaan sebuah apartment di Khartoum yang dibom dan terbakar akibat daripada pergolakan yang berlaku di Sudan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perang saudara yang meletus di Sudan menyebabkan rakyatnya hidup dalam ketakutan apabila tembak menembak masih berlaku dan segala kemudahan seperti elektrik, air dan internet turut terputus.

Situasi tidak menentu itu turut meresahkan seorang rakyat Malaysia, Siti Khazanah Fareha, 42, yang berkahwin dengan rakyat negara tersebut, Hussam, 33, apabila keluarga suaminya masih terperangkap di kediaman mereka di Khartoum.

Siti Khazanah yang menetap di Cyberjaya dekat sini berkata, ayah mentuanya, Shams Eldin, 72, dan ibu mentuanya, Nawal Nasr, 58, hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan selepas bekalan elektrik terputus hampir seminggu.

 

SHAMS Eldin, 72, (tiga kanan) dan isteri, Nawal Nasr (empat kanan) yang masih berada di kediaman mereka di Khartoum, Sudan.

Jelasnya, bekalan elektrik dan internet tergendala akibat menara pencawang ditembak oleh kedua-dua pihak yang bersengketa semasa konflik tercetus di negara tersebut.

Situasi lebih meruncing, katanya, apabila bekalan air yang menjadi sumber keperluan asas juga terputus dalam tempoh sama.

“Bekalan makanan dan minuman di kawasan rumah mentua setakat ini masih baik, cuma bekalan elektrik memang susah.

“Bekalan elektrik di sana seperti beli kad tambah nilai, perlu beli dan masukkan nombor tambah nilai. Tetapi kedai yang menjual kad tersebut semuanya sudah tutup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Walaupun bekalan internet terputus, Siti berkata, dia mendapat maklumat dan perkembangan terkini daripada adik ipar yang tinggal bersama keluarga mentua menerusi aplikasi Messenger di Facebook.

Katanya, kediaman ibu dan bapa saudara di kawasan lain ada yang terkena tembakan dan terbakar akibat pertempuran yang tercetus.

Menurut Siti Khazanah, ayah mentua yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti di Sudan dan ibu mentuanya masih terperangkap di kediaman mereka disebabkan lapangan terbang sudah tutup.

“Mereka boleh lari ke Mesir tetapi memakan masa selama dua hari untuk sampai ke sana dengan menaiki bas.

“Kerajaan Mesir memang benarkan mana-mana rakyat Sudan berlindung di negara itu walaupun tidak mempunyai pasport. Ayah dan ibu pula sudah tua dan susah hendak melakukan pergerakan yang mengambil masa terlalu lama.

“Kalau boleh mahu bawa mereka datang ke Malaysia atau Oman sebab kakak ipar juga ada tinggal di sana,” katanya.

Siti Khazanah berkata, adik ipar lelakinya pernah ditahan pihak tentera dan merampas telefon yang dibawa serta barangan lain dan disoal dengan siapa dia berhubung serta mempunyai ahli keluarga lain yang berkhidmat dengan pihak tentera.

Perang saudara antara pasukan tentera Sudan dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) meletus semula di ibu kota dan bandar-bandar besar dengan krisis bermula apabila pihak tentera nasional menuduh RSF melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan seramai 427 orang terbunuh dan lebih 3,700 lagi cedera sejak konflik di Sudan tercetus sejak 15 April lalu.

Sementara itu, seorang pelajar jurusan Dakwah dan Budaya Islam di Universiti Islam Omdurman (OIU) di Khartoum yang sedang bercuti di Malaysia kerana cuti semester memberitahu, rakan-rakannya di Sudan kini berada dalam keadaan selamat dan dijaga dengan ketat.

Beliau yang tidak mahu dikenali memberitahu, rakannya di Sudan memaklumkan sejak Hari Raya Aidilfitri kedua lagi mereka sudah dipindahkan ke kedutaan Malaysia tanpa sebarang insiden tembak menembak.

“Sekarang semua pelajar dalam 10 orang menetap di kedutaan Malaysia dan alhamdulilah mereka berada dalam keadaan baik dan keselamatan mereka dijaga dengan ketat. Kesemua mereka berharap dapat dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Katanya, bunyi tembak menembak antara dua pihak yang bergelut masih kedengaran setiap malam walaupun gencatan senjata sepatutnya berlangsung sebelum ini.

“Malam raya masih berlaku tembak menembak jadi mereka hanya menetap di rumah dan pagi pun tidak boleh keluar untuk solat sunat Aidilfitri kerana takut untuk keluar daripada rumah,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima panggilan telefon daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sempena Aidilfitri turut berkongsi perkembangan terkini di Sudan itu.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Khas Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warganegara Malaysia dan 26 rakyat negara lain ke Port Sudan sejak kelmarin untuk keluar dari negara itu.

Menurutnya, terdapat dua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan evakuasi tersebut kerana berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei, dan proses pemindahan mereka akan dilakukan oleh UNMIS.

“Kita sedang mengusahakan untuk membawa keluar mereka semua dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara dengan menyewa khas pesawat atau melalui laluan laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN