PETALING JAYA: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menawarkan kempen pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma sempena sambutan perayaan Aidilfitri bermula esok hingga 20 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammed Shukor Ismail berkata, kempen itu dianjurkan kepada semua pemandu dan pemilik kenderaan persendirian bagi memastikan kenderaan berada pada tahap terbaik sebelum memulakan perjalanan.
Katanya, inisiatif #drivesafenoregrets itu bertujuan memastikan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan, terutama bagi golongan yang akan memandu pulang ke kampung masing-masing.
Ujarnya, pemeriksaan percuma itu tertumpu kepada aspek keselamatan iaitu pemeriksaan brek, gelincir sisi, tayar, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, cermin gelap serta banyak lagi.
“Kempen ini bertujuan membantu pemilik kenderaan mengetahui keadaan kenderaan melalui pemeriksaan menggunakan peralatan berkomputer Puspakom, seterusnya boleh digunakan sebagai rujukan untuk melakukan penyelenggaraan sewajarnya.
“Pelanggan yang menjalani pemeriksaan sukarela akan menikmati layanan VIP (istimewa) dan mereka boleh hadir terus ke Puspakom tanpa perlu janji temu, selain turut diberi keutamaan.
“Puspakom menjadikan kempen pemeriksaan kenderaan percuma ini sebagai tanggungjawab korporat syarikat dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan keselamatan kenderaan, terutama ketika musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pemilik kenderaan yang ingin mendapatkan pemeriksaan percuma boleh hadir secara terus ke mana-mana cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali Shah Alam (Selangor), Taman Bukit Maluri (Kuala Lumpur) dan Pasir Gudang (Johor) dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Mohammed Shukor menambah, Unit Pemeriksaan Bergerak juga ditawarkan bagi pemeriksaan percuma di beberapa lokasi terpilih yang disenaraikan dalam laman web www.puspakom.com.my atau Facebook, Puspakom Sdn. Bhd..
“Lokasi berkenaan ialah, Wisma DRB-HICOM dan MMU Cyberjaya (kakitangan sahaja), mulai pukul 9 pagi hingga 4 petang, pada 11 April ini, diikuti di Setia Alam Impian, pada 15 April dan Lotus’s Ara Damansara, pada 19 April ini,” katanya. – UTUSAN