Projek tambak laut PSI dapat kelulusan EIA - Utusan Malaysia

Projek tambak laut PSI dapat kelulusan EIA

KETUA Menteri, Chow Kon Yeow menunjukkan pelan pembangunan projek PSI yang telah memperoleh kelulusan EIA daripada JAS dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai Penang South Island (PSI) memperoleh kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 11 April lalu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

Katanya, kelulusan itu adalah berasaskan 71 syarat yang ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

”Lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh ini, kerajaan negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini sedang dalam proses memohon kelulusan pelan pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

”Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangka bermula suku ketiga tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Sebelum ini, pada 8 September 2021, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kelulusan EIA yang diperoleh itu adalah untuk tambakan tiga buah pulau bagi projek PSI iaitu Pulau A, B dan C.

”Sekiranya kelulusan EMP diperoleh, maka kerja-kerja tambakan akan dimulakan dengan Pulau A terlebih dahulu untuk membina ‘green tech park,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, kelulusan EIA yang diperoleh tersebut juga sudah dipaparkan di dalam laman sesawang JAS dan seterusnya akan dimuat naik di laman sesawang Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PICSB).

”Ini adalah salah satu syarat yang kita perlu patuhi dan ia disusuli dengan pengumuman rasmi hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya