PETALING JAYA: Berita pemergian vokalis kumpulan legenda rock, XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael, yang meninggal dunia semalam merupakan kehilangan besar kepada industri seni.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi ciapan di Instagram turut mengutuskan takziah buat keluarga penyanyi rock legenda tersebut.
“Saya utus takziah kepada keluarga Allahyarham saudara Syed Ismail yang menyahut panggilan Ilahi.
“Saya turut berduka dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Vokalis kumpulan rock legenda, XPDC itu menghembuskan nafas terakhir di usia 55 tahun di Hospital Muar sekitar pukul 9.30 malam semalam.
Berita duka tersebut disahkan anaknya, Sharifah Irfatasha, menerusi satu kiriman teks di WhatsApp.
“Adalah dengan amat sedihnya dimaklumkan bahawa bapa saya meninggal dunia di Hospital Muar pada Khamis, 27 April 2023, lebih kurang jam 9.30 malam,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi ciapan di Twitter juga merasakan kehilangan bintang seni yang popular dengan lagu Semangat Yang Hilang.
“Innalillah. Menerima khabar duka. Penyanyi kumpulan XPDC, Mael meninggal dunia sebentar tadi.
“Saya antara jutaan peminat beliau dan Semangat yang Hilang merupakan lagu kegemaran saya. Semoga Allah tempatkan arwah dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Terdahulu, Mael pernah dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan dan tidak mampu bergerak sekitar Ogos 2019.
Mael mula aktif dalam dunia seni sekitar 1985 dan menganggotai XPDC bersama Izo, Zuar dan Amy sehingga awal 2000.
Mereka berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit menerusi jualan album Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa album kompilasi.