PH-BN Kedah teruskan berunding kerusi PRN

PH-BN Kedah teruskan berunding kerusi PRN

MAHDZIR Khalid (tengah) bersama Mahfuz Omar dan pimpinan tertinggi BN dan PH Kedah bergambar bersama selepas mengadakan mesyuarat di Bangunan Tunku, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) negeri Kedah sepakat untuk terus mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perundingan tersebut perlu diteruskan bagi memastikan dengan jelas di mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi BN dan selebihnya diletakkan calon daripada PH.

“Apa yang disebut Datuk Seri Saifuddin (Nasution Ismail) itu kerangkanya (pembahagian) sudah ada iaitu di mana yang PH bertanding sebelum ini dan di mana pula BN akan bertanding. Cuma kita nak dapat sikit lagi maklumat kawasan-kawasan mana.

“Sebab itu pentingnya kita bersetuju untuk mengadakan satu program dikenali sebagai perbincangan meja bulat melibatkan kepemimpinan BN dan PH di kesemua 15 Parlimen di Kedah pada 17 April ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Tunku, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar merangkap pengerusi bersama Majlis Pimpinan Perpaduan negeri; Timbalan Pengerusi majlis berkenaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Nor Azrina Surip.

Semalam, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju parti yang memenangi kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal bertanding di kerusi tersebut pada PRN akan datang. Perkara itu merupakan antara beberapa parameter yang dipersetujui kedua-dua pihak untuk memandu proses agihan kerusi bagi PRN di enam negeri termasuk Kedah.

Tambah Mahdzir, lanjutan daripada pertemuan di peringkat Parlimen berkenaan, PH dan BN akan terus mengadakan perbincangan sama di peringkat DUN dan cawangan kedua-dua gabungan itu pula agar dapat membentuk struktur yang lebih kukuh.

“Saya yakin kita boleh koordinasi dengan baik dan berkolaborasi untuk meneruskan agenda-agenda berkaitan BN-PH berdepan PRN Kedah. Bagi memperkukuh apa yang kita rancang ini, Perdana Menteri dijadualkan hadir ke Kedah dalam masa terdekat dan sempena Aidilfitri nanti.

“Beliau memberi komitmen baik kepada Kedah dan begitu juga Timbalan Perdana Menteri. Maka dengan sokongan kedua-dua pemimpin di peringkat pusat dan kita pula bekerja di sini sebagai satu pasukan, saya yakin kita berada di landasan yang tepat,” katanya.

Justeru Mahdzir berkata, peluang untuk membentuk kerajaan negeri Kedah agar selari dengan pentadbiran di Putrajaya tetap ada dalam usaha menambah baik urusan kerjasama antara negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Semasa PRU15 kita tak salahkan rakyat (yang buat pilihan) kerana waktu itu ada perlumbaan untuk tubuh kerajaan antara PH, BN dan Perikatan Nasional (PN). Di akhir perlumbaan PH dan BN membentuk kerajaan dinamakan Kerajaan Perpaduan. Maka Kedah menjadi negeri pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz menepis tanggapan Ketua Pengarah Pilihanraya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Menteri Besar sebelum ini bahawa mereka akan berhadapan kesukaran untuk berunding dengan BN.

“Dia buat tanggapan berasaskan Pas sendiri yang payah nak berunding dengan UMNO. Walhal kami hari ini tak ada masalah pun, saya mula bertemu Mahdzir dan beri cadangan-cadangan kepada asas perbincangan hari ini, beberapa kali kita berjumpa tiada isu apa-apa.

“Alhamdulilah akan diteruskan dengan perundingan kerusi dan saya ingat selepas konvensyen perpaduan pada 20 Mei nanti, kita boleh buat sasaran berapa puluh kerusi yang kita akan menang di Kedah. Saya sangat konfiden perpaduan akan ambil alih kerajaan negeri Kedah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya