Pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 ditangguh

Pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 ditangguh

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) ditangguhkan bagi memberi peluang lebih luas kepada pihak berkepentingan lain untuk menyatakan pandangan dalam merangka masa depan ibu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mempertimbang dan bersetuju pewartaan pelan itu ditangguh bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus dilaksanakan sehingga 31 Mei ini.

Katanya, langkah itu memberi peluang yang lebih luas kepada pihak berkepentingan yang lain untuk menyatakan pandangan terhadap pelan pemajuan bandar raya Kuala Lumpur.

“Saya percaya langkah ini membolehkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dalam satu tempoh yang mencukupi untuk memberi penjelasan dan mendapatkan maklum balas yang sewajarnya dalam penyempurnaan pewartaan PSKL2040,” katanya dalam kenyataan.

Perancangan Kuala Lumpur adalah berasaskan komponen sistem pelan pembangunan yang mengikut peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267). 

Akta ini memerlukan Datuk Bandar menyediakan pelan pembangunan bagi memandu pembangunan di Kuala Lumpur. 

Menerusi langkah itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan satu Pelan Struktur Kuala Lumpur selepas sebahagian dasar pelan yang dirangka sebelum ini  perlu disemak.

Oleh itu PSKL2040 yang baharu disediakan bagi memandu pembangunan Kuala Lumpur untuk jangka masa tahun perancangan akan datang.

Pada masa sama, Anwar memberitahu, beliau mengambil maklum bahawa proses penyediaan dokumen itu telah dilaksanakan mengikut keperluan yang diperuntukkan di dalam Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dengan teratur.

Katanya, beliau telah mempengerusikan sesi pembentangan Draf PSKL2040 oleh Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL pada semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN