‘Pesta sokongan’ kepada Sanusi timbul persoalan

‘Pesta sokongan’ kepada Sanusi timbul persoalan

MUHAMMAD SANUSI MD NOR (kiri) dan SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah hairan dengan kewujudan ‘pesta’ melontarkan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beberapa hari lalu yang disifatkan secara tiba-tiba berlaku.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada wujud masalah atau pun perpecahan dalaman Pas Kedah ketika ini.

Katanya, situasi itu mendorong seolah-olah wujudnya satu arahan menyeluruh atau ‘gag order’ untuk memberi sokongan kepada Muhammad Sanusi.

“Kita dapat lihat tiba-tiba timbul coretan-coretan yang pelbagai di media sosial memberi sokongan teguh daripada pelbagai peringkat pimpinan (kepada Muhammad Sanusi),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Isnin lalu, Pas Kedah menegaskan Muhammad Sanusi akan menjadi ‘poster boy’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dan kekal menerajui pentadbiran negeri Kedah jika Perikatan Nasional (PN) menang.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yahaya berkata, mereka akan terus mempertahan kepimpinan Muhammad Sanusi kerana ketegasan beliau menegakkan kebenaran menjadi asbab tekanan politik yang berterusan diarahkan kepada beliau ketika ini. 

Pada hari sama, Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Kedah (DMPNK) , Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, mereka berbangga dengan kepimpinan Muhammad Sanusi yang cemerlang serta tidak tunduk kepada pencabulan semangat federalisme.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy turut tertanya-tanya jika Pas atau PN Kedah khususnya sudah mula bimbang dan gerun dengan perkembangan politik semasa di Kedah yang menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“(Adakah mereka gerun dengan BN-PH yang) sudah mula menyusun langkah formasi perang pilihan raya? Hakikatnya saya yakin ianya lebih kepada kegusaran Pas akan susunan dan gerak kerja terbaru pimpinan perpaduan negeri ini.

“Namun apa yang pasti, (puncanya mungkin) disebabkan keghairahan dan kebimbangan merosotnya sokongan dalaman dan pada masa sama ingin memperbaiki rating menteri besar yang dilihat semakin merosot,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri, hak dan kuasa pelantikan seseorang Menteri Besar berada dibawah bidang kuasa Sultan Kedah dan parti yang berjaya membentuk kerajaan sekadar hanya boleh mencalonkan individu tertentu.

Katanya, Pas secara melulu dan luar biasa melontarkan sokongan kepada Muhammad Sanusi sehingga parti itu terlepas pandang sesuatu yang bukan hak mereka. 

“Pas sepatutnya faham kedudukan ini dan seharusnya menghormati institusi diraja di negeri Kedah. Justeru itu, UMNO Kedah mendesak Ahmad dan Pas Kedah memohon maaf secara terbuka kepada Tuanku Sultan di atas keterlanjuran ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya