Perlu iltizam politik pulih Tasik Chini

Perlu iltizam politik pulih Tasik Chini

KEADAAN di Lake Chini Resort yang terletak dalam kawasan Tasik Chini di Pekan, Pahang yang terbiar sehingga ditumbuhi tumbuhan menjalar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Usaha memulihkan semula Tasik Chini yang merupakan tasik kedua terbesar di negara ini memerlukan iltizam politik bagi menjayakan hasrat atau cita-cita besar tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, ia memerlukan penglibatan semua pihak khasnya majlis daerah dan kerajaan negeri yang bertanggungjawab meluluskan projek-projek di sekitar Tasik Chini.

“Pencemaran Tasik Chini sehingga memusnahkan ekosistem tasik semulajadi kedua terbesar negara itu disebabkan oleh isu tadbir urus.

“Jadi, saya rasa perlu dikaji secara menyeluruh untuk membaiki semula Tasik Chini. Dua aktiviti yang patut diharamkan berdekatan tasik ialah pembalakan dan perlombongan.

“Ini kerana dua aktiviti ini akan menyebabkan pencemaran air yang akan secara langsung mempunyai impak kepada kualiti air tasik tersebut,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, Tasik Chini yang mengalami kemusnahan ekosistem semula jadi akibat pembalakan dan pencerobohan hutan serta perlombongan semakin menyedihkan.

Walaupun didedahkan beberapa kali oleh beberapa pihak namun tidak nampak usaha serius dan konsisten dilaksanakan oleh pihak berwajib untuk memulihkan semula tasik kedua terbesar di negara ini.

Malah penarafan sebagai Rezab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009 umpama tidak bernilai apabila tasik itu tidak cuba dipulihkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia satu sumber dilaporkan sebagai berkata, keadaan terkini Tasik Chini semakin menyedihkan kerana pusat menyimpan pelbagai khazanah dan lokasi tumpuan pelancong tersebut terus tidak `bernyawa’.

Menurut sumber itu, contoh Lake Chini Resort yang terletak kira-kira 0.18 meter dari Tasik Chini terus dibiarkan tidak terurus sejak ditutup pada 2019 dan kini seperti resort berhantu.

Mengulas lanjut, Dr. Azizan berkata, sirkulasi semula Tasik Chini juga patut dipulihkan supaya kitaran nutrien dan juga pergerakan ikan dan anak ikan dipulihkan untuk kesejahteraan ekosistem.

Suatu ketika dahulu Tasik Chini merupakan lokasi cukup tenang dan damai yang menjadi habitat 138 spesies flora serta 300 spesies hidupan bukan akuatik.

Tasik Chini juga pernah merekodkan 144 spesies ikan air tawar hidup dalam tasik berkenaan.

Namun, ketenangan itu ‘hilang’ ekoran aktiviti manusia terutama perlombongan dan pembukaan hutan menyebabkan ia musnah dan terus dibiarkan tidak terurus sehingga kini tanpa usaha pemulihan konkrit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN