Perbanyak jualan murah menjelang Aidilfitri - Utusan Malaysia

Perbanyak jualan murah menjelang Aidilfitri

MOHD. RAFIQ Naizamohideen melayan orang ramai yang hadir di Gerai Khidmat Rakyat Parlimen Tangga Batu di Taman Tangga Batu Perdana, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai merayu kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperbanyakkan inisiatif jualan langsung melibatkan barangan keperluan terutamanya untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.

Warga emas, Ibrahim Ahmad, 64, berkata, konsep jualan langsung dengan menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran merupakan perkara yang amat dinanti-nantikan golongan berpendapatan rendah sebagai salah satu langkah ke arah penjimatan.

IBRAHIM AHMAD

Katanya, situasi menyambut lebaran kali ini dirasakan amat mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya, selepas mengambil kira sesi pembukaan sekolah bulan lalu.

“Sepatutnya setiap Parlimen di negara ini mengadakan jualan langsung yang menawarkan harga rendah terutamanya ketika hampir hari perayaan. Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat yang amat terhimpit sekarang ini.

“Hari ini saya dapat beli ayam dua ekor dengan harga RM7.90 sekilogram berbanding harga pasaran RM9.40 sekilogram. Kalau seekor ayam beratnya dua kilogram, maknanya saya sudah jimat RM6.

“Kawan-kawan yang ada anak masih bersekolah mengatakan tahun ini amat mencabar. Sekolah baharu sahaja dibuka bulan lalu, bulan ini pula perlukan banyak duit untuk persiapan raya. Pekerja swasta pula rata-ratanya belum terima gaji kerana Syawal dijangka disambut pada 22 April ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Gerai Khidmat Rakyat Parlimen Tangga Batu di Taman Tangga Batu Perdana di sini, hari ini.

Gerai Khidmat Rakyat Parlimen Tangga Batu merupakan inisiatif dianjurkan Pertubuhan Khidmat Rakyat Negeri Melaka (Khidmat).

Dalam pada itu, Presiden Khidmat, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, empat jenis barangan keperluan ditawarkan pihaknya dengan harga rendah kepada 1,000 pembeli terawal di Parlimen berkenaan.

Beliau berkata, selain ayam turut dijual adalah bawang besar 2.5 kilogram, nasi himpit dan minyak masak peket satu kilogram.

“Semuanya murah berbanding pasaran, contohnya bawang besar 2.5 kilogram harga pasaran adalah RM5 tetapi kita jual RM3.50 sahaja. Begitu juga dengan minyak peket, harga subsidi RM2.50 namun kita jual RM1.90.

“Saya amat berharap program ini dapat kita anjurkan di Parlimen lain kerana ramai orang yang bertanya. Cuma buat masa ini kita anjurkan mengikut kemampuan memandangkan kita adalah NGO, tiada sebarang peruntukan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN