Pengurus Peladang kawasan dituduh rasuah RM6,000 - Utusan Malaysia

Pengurus Peladang kawasan dituduh rasuah RM6,000

Pengurus rasuah
MOHD. Asyraf Mohd. Fauzi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta rasuah berjumlah RM6,000, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan sebuah badan berkanun berusia 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM6,000, hari ini.

Tertuduh, Mohd. Asyraf Mohd. Fauzi membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Berdasarkan kedua-kedua pertuduhan tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang ketika itu didakwa secara rasuah meminta wang daripada sebuah syarikat sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan pembekalan anak benih tebu telur.

Kerja-kerja tersebut adalah berkaitan dengan ‘Projek Dana Jaminan Makanan Tahun 2021: Projek Pertanian Organik Tebu’. Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan dekat sebuah restoran di Kampung Giching, Sepang sekitar September 2021.

Justeru, Mohd. Asyraf yang kini bertugas sebagai Pengurus Pesar PPK Gombak itu dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian menawarkan ikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin kepada bapa empat anak itu serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa dan lapor diri di Pejabat SPRM berdekatan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Saleh Ahmad menyatakan tawaran jaminan tersebut terlalu tinggi dan memohon ia dikurangkan.

“Anak guam saya berkahwin dan mempunyai empat orang anak berusia dua minggu hingga tujuh tahun. Isterinya pula bekerja sebagai kerani dekat sebuah agensi kerajaan,” katanya.

Rozilah kemudian memutuskan Mohd. Asyraf dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 berserta pematuhan terhadap syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya