Penggunaan bubu naga di perairan Perak semakin membimbangkan - Utusan Malaysia

Penggunaan bubu naga di perairan Perak semakin membimbangkan

OSMAN Mohamed (kiri) menunjukkan bubu naga yang dirampas dalam Operasi MCS selama lima hari bermula Isnin lalu di Pangkalan Utama MCS Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga semakin membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kira-kira 10 peratus dan kehadiran ramai individu baharu menggunakannya di laut khususnya sekitar perairan Perak.

Ia berdasarkan tangkapan dan sitaan Jabatan Perikanan terhadap bubu yang diharamkan itu sejak awal tahun ini.

Terbaru, Operasi Bersepadu Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan (MCS) Zon Tengah selama lima hari bermula Isnin lalu dan berakhir hari ini, berjaya merampas 1,366 unit bubu naga.

Sehubungan itu, Penyelaras Operasi tersebut, Osman Mohamed, memaklumkan pihaknya akan mengusulkan kepada agensi berkaitan untuk mengekang penjualan set bubu naga yang berleluasa dan mudah dibeli termasuk pembelian dalam talian.

“Bubu naga ini asalnya hanya digunakan dalam aktiviti akuakultur tetapi diubah suai untuk penggunaan di laut dan semakin popular kerana ia mudah dipasang, harga murah serta boleh menghasilkan perolehan tinggi hingga RM1,000 sehari.

“Ketika ini, Jabatan Perikanan tiada kuasa untuk menghalang penjualan bubu itu tetapi boleh menguatkuasakan undang-undang bila digunakan di laut, dan ia sering menjadi topik panas setiap kali mesyuarat jawatankuasa bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), Pasukan Polis Marin dan agensi berkaitan.

“Oleh itu, kita akan mencadangkan agar penjualan bubu naga diharamkan kecuali kepada mereka yang terlibat dalam akuakultur sahaja,” katanya pada sidang media di Pangkalan Utama MCS Kampung Acheh, Sitiawan, hari ini.

Beliau berharap ada hasil positif terhadap cadangan itu tahun ini yang melibatkan banyak pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam pada itu, operasi MCS dengan kerjasama pasukan Polis Marin itu meliputi perairan Pulau Pinang dan Perak, yang menghasilkan 22 kes dengan anggaran nilai rampasan ialah RM538,810.

Jelasnya, tujuh kes berkaitan vesel penangkapan ikan yang melakukan kesalahan melanggar Akta Perikanan 1985 serta syarat lesen dan akan disabit mengikut Seksyen 8(b) akta tersebut

Sementara, 15 kes lagi ialah sitaan bubu naga dan akan disabitkan di bawah Seksyen 11(3)(c) dan Seksyen 49(1) akta yang sama.

Menurut Osman, operasi melibatkan 61 anggota dengan lima aset laut dan tujuh aset darat itu bertujuan mengawal tangkapan ikan berlebihan, mengawal dan memulihara sumber marin serta penguatkuasaan bagi mendidik nelayan agar mematuhi peraturan ditetapkan.

“Jabatan Perikanan memandang serius isu dan kesalahan seperti pelanggaran zon kawasan penangkapan, penggunaan peralatan perikanan dilarang dan aktiviti lain yang tidak beretika,” ujar beliau.

Menurutnya, perbuatan tersebut akan menyebabkan berlaku pengurangan sumber perikanan khususnya benih ikan, selain boleh mencetuskan kontroversi antara nelayan komersial dengan nelayan tradisional. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya