KLUANG: Gara-gara mengelak daripada melanggar sebiji tayar yang tercicir di atas jalan, seorang lelaki maut selepas lori dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 68.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan pada pukul 2.30 pagi itu melibatkan lori jenis Isuzu, treler jenis Volvo dan kereta Honda Civic semasa ketiga-tiga buah kenderaan itu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, lori membawa muatan buah-buahan dipandu mangsa, Muhammad Saifuddin Md. Lazan, 35, cuba mengelak sebiji tayar yang tercicir di atas jalan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik seterusnya melanggar besi pembahagi jalan.
“Pada masa sama sebuah treler yang membawa muatan simen dan sebuah kereta Honda Civic yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar lori berkenaan.
“Kemalangan mengakibatkan pemandu lori jatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu treler, K. Mani, 68, yang beralamat di Karak, Pahang dan pemandu kereta, Wong Zi Sheng, 26, beralamat di Batu Pahat tidak mengalami kecederaan.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, seramai sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke tempat kejadian selepas menerima maklumat tentang kemalangan itu. – UTUSAN