PETALING JAYA: Pemilik akaun ‘Indera Mulia’ ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung kes menghina Sultan Johor.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, permohonan reman itu dibuat di bawah peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kata beliau, tenpoh tahanan reman yang dibenarkan adalah selama empat hari iaitu bermula sehingga 28 April ini.
“Kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis bertindak membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor.
Suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Indera Mulia’ pada 20 April lalu. – UTUSAN