PETALING JAYA: Pelajar Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Sudan berasa lega dapat diselamatkan tetapi sedih kerana terpaksa menangguh pengajian yang berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
Pelajar Pengajian Islam di Universiti Antarabangsa Afrika (IUA), Anas Mohd. Tajudin, 25, berkata, mereka bersyukur dapat dibawa ke Arab Saudi selepas mengharungi perjalanan yang jauh dari Pelabuhan Sudan.
Namun katanya, dia hanya ‘selangkah’ untuk mendapatkan ijazah di universiti di Khartoum, Sudan itu dan terpaksa menunggu keadaan kembali aman sebelum dapat meneruskan kembali pengajian.
“Saya pelajar tahun akhir tetapi disebabkan situasi yang berlaku, saya perlu tangguhkan pengajian sementara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, kira-kira 30 rakyat Malaysia di Sudan berjaya dibawa ke pelabuhan Sudan selepas menempuh perjalanan sejauh 1,233 kilometer yang mengambil masa kira-kira 30 jam melalui proses evakuasi yang dijalankan oleh Pasukan Khas Ops Sudan Malaysia.
Hasil bantuan daripada Arab Saudi, kesemua rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan daripada proses tersebut berjaya keluar dari Sudan dengan menaiki kapal tentera laut milik negara tersebut dan tiba di Jeddah 9 malam semalam.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan kesemua rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan itu akan menaiki pesawat Saudi Airlines, SV834 selepas berjaya dibawa keluar dari Sudan dan dijadual tiba di tanah air pada pukul 3.55 petang semalam.
Pelajar tersebut memberitahu , sebaik sahaja tiba di Jeddah, baru dia dapat berhubung dengan ahli keluarganya di Malaysia yang sedang menunggunya pulang.
“Perjalanan ke Jeddah berada dalam keadaan yang aman tetapi ramai rasa mabuk laut, walaupun kami sampai pada pukul 9 malam, hanya pada pukul 5 pagi baru kami dapat check in dan berehat kerana pelbagai proses seperti imigresen.
“Disebabkan sepanjang proses evakuasi tiada sebarang jaringan internet, selepas dapat masuk ke hotel sahaja saya dapat berhubung dengan ahli keluarga di Malaysia untuk maklumkan keadaan diri,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar di Universiti Islam Omdurman (OIU) yang bernasib baik dapat pulang ke Malaysia sebelum perang tercetus bersyukur rakan-rakannya yang terkandas di Sudan dapat pulang ke tanah air juga.
“Sebelum ni, mereka bagi petunjuk, apa-apa jumpa di Malaysia jadi saya bersyukur hari itu sudah tiba. Mereka tidak perlu lagi dengar bunyi tembak menembak setiap malam dan berada dalam keadaan ketakutan,” ujarnya yang enggan disebut namanya.
Beliau yang sepatutnya perlu pulang ke Sudan pada 29 April untuk semester baharu berharap keadaan di Sudan akan kembali reda supaya setiap pelajar boleh menyambung kembali dan menamatkan pengajian sepatutnya.
“Selalunya apabila berlaku perkara sebegini pihak universiti akan anjakkan percutian selama enam bulan atau setahun,” jelasnya. – UTUSAN










