KEJADIAN yang menimpa abang iparnya, Kamal Adli benar-benar memberi impak bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada semua selebriti untuk lebih berhati-hati terutama ketika berada di kawasan umum.
Namun bagi pelakon, Raysha Rizrose, dia belum berhasrat untuk memasang pengawal peribadi biarpun suaminya, Nabil Jeffri pernah mencadangkan perkara tersebut demi keselamatannya.
Kongsi wanita berusia 27 tahun itu, kejadian tersebut berlaku di luar kawalan dan tiada siapa yang dapat menjangka Kamal akan diserang di kawasan umum ketika sebuah acara di Singapura.
“Memang suami ada minta saya cari pengawal terutama jika hadir ke acara umum, tetapi saya fikir kejadian malang seperti itu tidak berbau. Pasanglah 10 pengawal sekali pun, kalau hendak jadi, jadi juga kan.
“Cuma saya lebih berhati-hati. Kalau dulu berani juga hendak ke acara hiburan seorang diri, sekarang kena ada pembantu sebagai teman. Saya juga lebih berhati-hati, terutama dalam menjaga keselamatan.
“Saya tawakal sahaja dan berdoa semoga dijauhkan daripada kejadian malang seperti yang menimpa abang Kamal,” ujar pelakon Bisik Bisik Gelora itu.
Berkongsi perkembangan abang iparnya, jelas Raysha, Kamal ketika ini semakin stabil namun tetap paranoid dan trauma terutama jika berada di kawasan umum yang dipenuhi dengan individu tidak dikenali.
Berbeza daripada karakternya sebelum ini, kongsi Raysha, suami kepada Uqasha Senrose itu juga semakin pendiam dan canggung berbeza daripada sifat mudah mesra dan kelakarnya sebelum ini.
“Alhamdulillah, abang Kamal beransur stabil. Dia sudah boleh keluar dan menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma dia trauma dan paranoid dengan apa yang berlaku. Nka keluar rumah pun takut-takut.
“Bila hendak keluar tarawih pun dia akan tanya, tak apa ke. Kena pakai pelitup muka dan menyorok sedikit. Bila ada individu tidak dikenali menghampiri, dia jadi takut dan trauma.
“Kami sendiri terasa kesannya. Mungkin sebab saya tidka berada di tempat kejadian jadi rasa paranoid itu tidak ada. Uqasha adalah kekuatan dia. Kami banyak memberi sokongan untuk dia kembali pulih, rohani dan jasmani,” ujarnya.
RAYA SEDERHANA
Mengorek pengalaman pertama kali menyambut Ramadan bersama suami, kongsi Raysha, dia sangat mengagumi kaum ibu yang selama ini bertungkus lumur menyediakan juadah sahur dan berbuka untuk santapan keluarga.
“Saya betul-betul kagum. Bayangkan saya yang berdua ini pun sudah tidak menang tangan terutma ketika menyediakan juadah sahur. Sampai tak cukup tidur sebab tak pandai susun masa kot.
“Tetapi bayangkan ibu-ibu kita yang bangun awal, sediakan juadah sahur. Mereka memang superwomen lah,” selorohnya.
Berkongsi tentang persiapan raya, adik kepada pelakon, Nelydia Senrose itu tidak mahu terlalu berhabis untuk menyambut lebaran biarpun ini kali pertama dia meraikan Aidilfitri bersama suami tersayang.
“Persiapan sambutan raya normal sahaja kot. Tak adalah kita mahu berhabis. Sederhana sahaja. Yang penting dapat berkumpul dengan sanak saudara.
“Cuma keterujaan Aidilfitri kali ini lebih sedikit. Kali pertama beraya sebagai isteri kan. Kalau sebelum ini fikir sendiri sahaja. Beli baju untuk diri sendiri tetapi sekarang kea fikir baju suami juga.
“Kami akan beraya di Kuala Lumpur sahaja. Saya beruntung sebab dua-dua keluarga di sini sahaja. Rindu juga mahu pulang ke Kelantan, tetapi sudah tiada siapa di sana,” katanya.