Mereka mahu bina persepsi rugi kekalkan PN di Kedah - Sanusi

Mereka mahu bina persepsi rugi kekalkan PN di Kedah – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa tindakan pihak tertentu menyerang dirinya adalah untuk membina persepsi bahawa Kedah akan rugi jika Perikatan Nasional (PN) dikekalkan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Menurutnya, pihak berkaitan juga cuba menggambarkan bahawa negeri itu akan maju, beruntung dan mendapat bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan negeri di Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, beliau bukanlah seorang ‘kaki gaduh’, namun apa yang dilakukannya ketika ini adalah untuk membetulkan kesilapan serta tanggapan dalam kalangan rakyat.

“Kita bukan nak cari gaduh kerana tak guna ‘sekupang’ pun memerintah sambil bergaduh. Tapi kalau hak kita dicabul serta tak diberikan dan dalam masa sama gambaran buruk ditimpakan kepada kita dengan tidak benar, kita mesti lawan untuk betulkan kesalahan itu.

“Kalau perbetul kesalahan itu adalah tindakan cari gaduh atau isytihar perang, maka saya akan berperang setiap hari. Kalau kita tolong perbetul kesilapan orang tetapi dianggap memerangi mereka, itu tindakan bodoh. Orang cerdik kalau mereka buat silap dan ditegur, mereka ucap terima kasih kepada kita,” katanya ketika berucap di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.  

Muhammad Sanusi berkata, langkah untuk memperbetul fakta tentang negeri itu merupakan sesuatu yang menepati syarak kerana kesalahan fakta akan menyebabkan negeri serta negara akan rosak.

“Apabila perkara tidak benar menjadi asas untuk orang ramai membuat pendirian atau penilaian, maka negara ini akan rosak sehari demi sehari. Pas berjuang untuk perbetulkan keadaan ini kerana negeri ini tak boleh dirosakkan oleh orang yang ‘loqlaq’.

“Jika saja betul, siapa pun ‘mai’ nak lawan, kita lawan. Saya pula kalau lawan, akan lawan sampai menang dan bersandarkan fakta yang betul sahaja,” katanya.

Sementara itu, dalam video terbaharu di Facebooknya, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dihalang daripada menyertai program Kerajaan Persekutuan kerana dituduh membocorkan rahsia Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Parlimen sempena Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu, sebelum ini. 

“Dalam mesyuarat itu ada dua pembentangan dengan yang pertama oleh pegawai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan kedudukan perumahan awam di seluruh negara. Hari kedua pembentangan oleh Kementerian Kewangan dibentangkan sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan kerana Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu diletakkan di ‘peti sejuk’. 

“Selepas itu pula, saya ada ceramah di Sungai Besar dan di situ saya ‘habaq’ pembentangan dalam mesyuarat itu pertamanya dibentangkan pegawai KPKT dan kedua dibentangkan Anwar sendiri kerana KSP tidak hadir. Disebabkan itu saya dituduh membocorkan rahsia kerajaan.

“Jadi saya dilarang menyertai program-program Persekutuan kerana ceritakan bahawa Anwar bentangkan sendiri kertas kementerian tersebut. Alasan ini terlalu bodoh kerana perkara itu bukan sulit. Siapa bentangkan kertas itu bukan sulit tetapi kandungan pembentangan itu yang sulit. Saya ‘habaq’ siapa bentang tetapi tak ‘habaq’ beliau cerita apa,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×