GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang diberikan kepada projek tambak laut Penang South Island (PSI).
Timbalan Pengerusi PenMutiara, Zakaria Ismail berkata, pihaknya akan membuat persediaan sebelum mengemukakan rayuan tersebut dalam tempoh terdekat.
‘’Masih ada ruang untuk kami kemukakan rayuan berkenaan.
‘’Pada masa ini, kelulusan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) bagi projek PSI masih belum diperoleh, malah 71 syarat yang dikenakan bagi kelulusan EIA itu juga bukan mudah untuk dipenuhi oleh kerajaan negeri,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam sidang akhbar semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai PSI telah memperoleh kelulusan EIA daripada JAS.
Sementara itu, Setiausaha Sahabat Alam Sekitar (SAM), S. Mageswari melahirkan rasa terkejut dengan keputusan JAS yang meluluskan EIA bagi projek PSI tersebut dan menggesa Ketua Pengarah JAS mengemukakan alasan secara telus bagaimana kelulusan tersebut diberikan.
“Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu mendedahkan kepada umum 71 syarat yang telah dikenakan untuk kelulusan EIA projek berkenaan.
“Kami terkejut kerana projek ini telah diluluskan walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan daripada pelbagai pihak antaranya PenMutiara, Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) serta semua unit perkampungan nelayan,’’ katanya.
Menurut Mageswari, SAM adalah ahli Jawatankuasa Semakan Teknikal EIA (EIATRC) dan pihaknya juga telah mengemukakan bantahan sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar.
“Pihak lain yang turut membantah dan berada di dalam EIATRC termasuk agensi berkaitan perikanan iaitu Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Institut Penyelidikan Perikanan.
“Kesemuanya turut menyuarakan kebimbangan yang mana penambakan ini akan menjejaskan sektor perikanan dan keselamatan makanan kerana tapak penambakan mempunyai biodiversiti marin yang tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, SAM berpandangan kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat memburukkan lagi keadaan alam sekitar dan sosial dengan meneruskan projek penambakan berkenaan. – UTUSAN










