Mara peruntuk RM420,000 bantu MRSM Kota Kinabalu

Mara peruntuk RM420,000 bantu MRSM Kota Kinabalu

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperuntukkan kira-kira RM420,000 kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu dalam usaha mengatasi masalah yang berlaku di sekolah yang berusia 21 tahun itu. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, RM100,000 diperuntukkan bagi segera membina dua unit tangki yang boleh menampung sehingga 10,000 gelen air. 

Katanya, kelulusan itu diumumkan semasa lawatannya hari ini selepas menerima maklum balas ramai ibu bapa berhubung keadaan MRSM tersebut yang sudah berusia 21 tahun itu. 

“Antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah air. Malah ada pelajar yang saya temui sendiri di bilik-bilik asrama mereka mengesahkan sekurang-kurangnya sebulan satu atau dua kali mereka akan berhadapan dengan masalah air.

“Insya-Allah, saya telah mengumumkan kelulusan majlis, peruntukan RM100,000 yang dipohon untuk membina dua unit tangki yang boleh menampung sehingga 10,000 gelen air untuk segera dibina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, Mara juga meluluskan sejumlah RM320,000 untuk penyelenggaraan baik pulih, penggantian perkakas, perabut, kelengkapan pembelajaran di asrama dan bangunan akademik serta pemasangan hawa dingin.

“Saya juga sempat buat lawatan ke Dewan Selera, dapur penyediaan makanan untuk memastikan tahap kebersihan dan kualiti terpelihara.

“Sempat juga melawat bilik-bilik guru, asrama putera dan puteri untuk melihat sendiri kondisi dan suasana pembelajaran dan penginapan pelajar.

“Umumnya kondisi maktab dan asrama adalah baik bahkan komen salah seorang pelajar perempuan daripada Tamparuli yang saya temui ‘Best hidup di MRSM sebab tempat belajarnya baik, guru-guru memang best’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN