Malaysia sumbang lebih setengah juta ringgit pelbagai projek di Palestin

Malaysia sumbang lebih setengah juta ringgit pelbagai projek di Palestin

ZAMBRY Abd. Kadir menyerahkan sumbangan kepada Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali (kiri) di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini menyumbang sejumlah AS$124,179 (kira-kira RM561,996) untuk pelbagai projek pembangunan di Palestin melibatkan tiga pihak.

Sumbangan disampaikan sendiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hasil derma rakyat negara ini kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

“Pemberian ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin membina semula negara mereka yang musnah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga kementerian tersebut dan Kor Diplomatik di sini, hari ini.

AAKRP diwujudkan oleh Kementerian Luar pada 2002 di bawah Seksyen 9 Akta Acara Kewangan bagi menyalurkan sumbangan ihsan rakyat Malaysia terus kepada Palestin.

Sejak ditubuhkan lebih dua dekad lalu, tabung khas tersebut sudah pun menyalurkan lebih RM20 juta untuk mengisi pelbagai projek kemajuan dan inisiatif di negara berkenaan.

Untuk program kali ini pula, sejumlah AS$50,000 (kira-kira RM220,620) disampaikan terus kepada pihak Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan untuk Masjid Al-Aqsa.

“Ini sebenarnya merupakan sumbangan tahunan kerajaan Malaysia kepada pihak tersebut sejak 2020 kerana Jordan ialah pihak diberi tugas mentadbir masjid itu,” kata Zambry.

Sumbangan itu diterima Duta Besar Jordan ke Malaysia, Thamer Abdalla Mohammad Adwan disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Baki daripada sumbangan AAKRP tersebut diserahkan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid A.M. Abuali antaranya bagi digunakan Kementerian Pendidikan Palestin melibatkan AS$30,000 (kira-kira RM132,367) untuk pemasangan fasiliti sistem solar dua buah sekolah di Tebing Barat dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jordan.

Selebihnya iaitu AS$44,179 (kira-kira RM200,000) untuk Global Peace Mission melakukan pelbagai projek pembinaan semula rumah warga Palestin yang dimusnahkan rejim Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya