Malaysia memantau krisis politik tegang di Tunisia

Malaysia memantau krisis politik tegang di Tunisia

ZAMBRY Abd. Kadir bercakap dalam sidang akhbar khas di Kementerian Luar, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia memantau rapat perkembangan krisis politik yang makin tegang di Tunisia namun kekal berpendirian tidak campur tangan isu domestik negara itu.

Perkara berkenaan ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang menyifatkan masih lagi terlalu awal menilai suasana tidak stabil di negara itu buat waktu ini.

“Kita memang prihatin dan mengikuti agak dekat perkembangan di Tunisia sambil harap agar kemelut di sana dapat diselesaikan segera,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Media antarabangsa semalam melaporkan pihak polis Tunisia menutup ibu pejabat pembangkang haluan Islam terkenal, Ennahdha selain pejabat parti itu di seluruh negara tersebut.

Tindakan yang tidak dijangka itu juga berlaku sehari selepas pihak berkuasa telah menahan pemimpin utama Ennahdha, Rached Ghannouchi di kediamannya sendiri di ibu kota Tunis.

Ennahdha yang dianggap sebagai beraliran sederhana Islam merupakan parti paling banyak memenangi kerusi sebelum Presiden Kais Saied membubarkan Parlimen pada Julai 2021.

Malaysia dan Tunisia menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1957 namun tiada memiliki bangunan kedutaan di Tunis kecuali cuma bertaraf pejabat Konsulat Kehormat di ibu negaranya.

Urusan dengan negara itu sebaliknya diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di Algeria yang ditauliahkan untuk Tunisia, manakala Kedutaan Tunisia di Jakarta diakreditasi untuk Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Zambry berkata, apa yang berlaku di Tunisia sebenarnya memberi kesan rantaian kepada seluruh dunia dan krisis politik itu turut dipantau oleh pelbagai negara.

“Secara umum, dasar luar Malaysia sendiri tidak akan mencampuri isu urusan domestik mana-mana negara yang merdeka meskipun kita amat prihatin kemelut negara itu,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan mengenai tahap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Tunisia dengan sebahagian besar mereka itu ialah pelajar pelbagai universiti.

Soal kebajikan dan keselamatan warga Malaysia ujar beliau, tetap menjadi keutamaan kerajaan menerusi pejabat diplomatik negara yang dikendalikan oleh pihak kedutaan di Algeria.

Justeru, beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang masih berada di Tunisia sama ada atas urusan bekerja atau bercuti agar segera mendaftarkan kehadiran dengan pejabat kedutaan.

Langkah tersebut katanya, membolehkan pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan pantas sekiranya berlaku isu kecemasan seperti yang sedang terjadi di Sudan pada ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya