Malaysia masih ada 591,900 penganggur - Utusan Malaysia

Malaysia masih ada 591,900 penganggur

KADAR pengangguran menunjukkan tren penurunan. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 591,900 orang masih menganggur dicatatkan pada Februari ini, namun jumlah tersebut turut menandakan kadar pengangguran negara menurun kepada 3.5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan pasaran buruh negara terus stabil iaitu sejajar dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa, ini apabila bilangan tenaga buruh pada bulan ini berada pada trend menaik.

Menurut beliau, bilangan itu mengalami peningkatan dari bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.78 juta orang iaitu meningkat naik daripada Januari lalu yang mencatat 16.76 juta orang.

“Negara merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi iaitu pada 69.9 peratus lebih tinggi daripada Januari lalu iaitu 69.8 peratus. Situasi yang menggalakkan ini adalah berikutan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menunjukkan trend penurunan.

“Pada Februari, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, merekodkan 16.19 juta orang, naik sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan iaitu Januari lalu hanya 16.16 juta orang.

“Sebaliknya, bilangan penganggur pada bulan Februari terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 591,900 orang yang pada bulan sebelum mencatat 596,100 orang. Oleh itu, kadar pengangguran pada bulan tersebut turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.5 peratus berbanding Januari pada 3.6 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kategori pekerja meliputi 75.7 peratus iaitu komposisi terbesar penduduk bekerja bagi bulan ini, ia juga mencatat peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.25 juta orang.

Malah katanya, jumlah bagi penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan kenaikan 0.5 peratus dengan merekodkan 2.89 juta orang.

“Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pentadbiran dan khidmat sokongan.

“Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan trend yang sama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif yang merangkumi 80.3 peratus mengalami penurunan sebanyak 1.3 peratus sedangkan penganggur tidak aktif pula mengalami peningkatan sekitar 1.7 peratus.

“Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 11.3 peratus, dengan bilangan seramai 320,800 orang. Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun kekal pada kadar 7.0 peratus, mencatatkan 450,200 penganggur.

“Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Februari lalu terus berkurang sedikit iaitu sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang. Antara sebab utama mereka yang berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah, tanggungjawab keluarga, diikuti oleh bersekolah dan latihan dengan 40.6 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN