Lelaki warga India dalang sindiket bekal buruh ditahan

Lelaki warga India dalang sindiket bekal buruh ditahan

SEBAHAGIAN warga asing ditahan Jabatan Imigresen di sekitar Brickfields, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan lelaki warga India disyaki dalang sindiket membekal buruh asing dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu terbongkar apabila ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dalam serbuan di sekitar Brickfields dekat sini kelmarin.

Operasi di sebuah asrama pekerja dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dan Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya itu turut menahan 65 lelaki semuanya pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan membabitkan 43 lelaki warga India, Bangladesh (20) dan Pakistan (dua) berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun.

Katanya, sindiket itu dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 bagi setiap pekerja asing mendapatkan PLKS yang kononnya membolehkan mereka bekerja di sektor perkilangan.

“Majikan yang menggunakan khidmat warga asing terbabit pula diarah untuk membayar gaji pekerja berkenaan menerusi syarikat milik sindiket.

“Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram yang dilakukan.

“Hasil semakan awal mendapati suspek (dalang) yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata, antara dirampas ialah 62 pasport terdiri daripada 40 pasport India, Bangladesh (20), Pakistan (dua) yang dilekatkan pelekat PLKS palsu selain lapan pelekat PLKS palsu yang belum dilekatkan.

Jelasnya, hasil soal siasat terhadap suspek, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai orang kanan sindiket terbabit dalam satu serbuan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan.

“Semakan mendapati suspek (kedua) yang berusia 30 tahun ini menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini.

“Modus operandi sindiket ialah dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, selepas bersetuju, pihak sindiket akan membekalkan buruh asing terbabit yang dibekalkan dengan PLKS palsu bagi memperdaya syarikat atau kilang berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

“Semua individu ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

“Kita komited membanteras keberadaan di negara ini dan akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bersekongkol melindungi Pati,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya