TEMERLOH: Seorang lelaki yang disyaki mencuri lemas di Sungai Semantan ketika cuba melarikan diri setelah dikejar orang awam di Kampung Tanjung Keratong, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, lelaki berkenaan bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Semantan sebelum dipercayai lemas.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pegawai operasi mengesahkan tindakan nekad lelaki tersebut terjun ke dalam sungai dan dikhuatiri lemas.
“Seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab ke tempat kejadian dan melakukan pemantauan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR). Operasi SAR tersebut dilakukan di sekitar kawasan kejadian serta dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulfadli, mayat mangsa ditemukan oleh PPDA pada kedalaman 4.3 meter dalam jarak lima meter dari tempat kejadian pada pukul 12.22 tengah hari ini dan diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya. – UTUSAN