Lebih setengah juta nilai rampasan seleweng diesel bersubsidi

Lebih setengah juta nilai rampasan seleweng diesel bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menggunakan lori tangki membawa kimia bagi mengaburi pihak berkuasa dan orang awam dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

Itu modus operandi digunakan penjenayah yang berjaya dikesan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu serbuan di lokasi sekitar kawasan Perusahaan Sungai Lalang di Sungai Petani, Kedah.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, seramai enam individu tempatan berusia antara 24 hingga 49 tahun ditahan
ketika mereka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis itu menemukan sejumlah 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan dengan nilai keseluruhan rampasan di lokasi ini berjumlah RM544,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan berasingan pula pada 9 April lalu, hasil risikan selama sebulan terhadap premis disyaki dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi itu menemukan sejumlah 3,000 liter minyak diesel dalam sebuah tangki bersama beberapa peralatan lain untuk kegiatan penyelewengan bahan bakar itu.

Katanya, minyak diesel serta beberapa peralatan lain disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM34,450.

Menurut beliau, kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan diedarkan.

Dalam perkembangan sama, katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Tiris bermula 1 Mac sehingga 9 April lalu, sebanyak 4,054 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.56 juta.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 1.6 juta liter minyak diesel telah dirampas di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya