LBS, SANY Group kerjasama projek hartanah pelaburan

LBS, SANY Group jalin kerjasama projek hartanah, pelaburan bernilai RM11 bilion

LBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju hartanah terkemuka, hari ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan SANY Group Co., Ltd. (SANY Group), peneraju global dalam bidang kejuruteraan mesin dan pengeluaran perkilangan, dan disenaraikan oleh Forbes sebagai syarikat yang ke-468 terbesar di dunia. 

Berpengkalan di China, SANY Group merupakan syarikat pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia dan terkenal dengan produk inovatif dan berkualiti tinggi.

SANY Group juga merupakan pengeluar utama peralatan berteknologi tinggi dan terlibat dalam aktiviti pembinaan am dengan 20 buah pusat penyelidikan serta pembangunan (R&D), pembuatan kereta, peralatan mesin pelabuhan, industri tenaga baharu, reka bentuk seni bina, internet industri dan pengeluar produk konkrit pratuang dengan jalinan kerjasama di 150 buah negara. 

Menerusi perjanjian tersebut, LBS dan SANY Group akan bekerjasama untuk (a) meneroka sistem struktur terkini SANY Group bagi membangunkan 10,000 unit hartanah di seluruh Asia, dengan jumlah nilai projek kira-kira RM3 bilion; dan (b) bersama-sama meneroka, menyelidik dan merancang pelabuhan pintar laut dalam di Melaka dan membina pusat setempat Hab Pelabuhan Industri 4.0 di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ), yang terdiri daripada zon perdagangan bebas, minyak dan taman perindustrian cecair gas asli serta perniagaan berkaitan pelabuhan yang menggunakan kepakaran, dengan jumlah pelaburan kira-kira RM8 bilion. 

Majlis menandatangani perjanjian ini telah diadakan di China World Hotel Beijing, China di mana Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San telah menandatangani bagi pihak LBS manakala SANY Group diwakili oleh Presiden, Tang Xiu Guo.

Majlis bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Perjanjian tersebut akan berkuatkuasa pada 1 April 2023 selama satu (1) tahun dengan lanjutan secara automatik untuk tempoh satu (1) tahun lagi, melainkan perjanjian tersebut diperbaharui dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata: “Kami telah lama bekerjasama dengan SANY Group, mengimbas kembali sejak 2017 di mana kami menjalin usahasama untuk memulakan kilang konkrit pratuang IBS. Kami berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan SANY Group bagi meneroka sinergi bagi kedua-dua pembangunan hartanah dan pembangunan industri di seluruh Asia serta pembangunan pelabuhan di Melaka.  

“Kami turut berhasrat untuk menjadi pemaju terkemuka di peringkat serantau dan berharap ianya tercapai melalui penggunaan produk konkrit pratuang IBS. Di samping itu, terdapat pelbagai potensi di negeri Melaka dan kami optimis untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam negeri menerusi pembangunan pelabuhan perindustrian.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya