Kerjaya kedua selepas pencen untuk veteran tentera - Utusan Malaysia

Kerjaya kedua selepas pencen untuk veteran tentera

ADLY Zahari (kiri) menziarahi veteran tentera, Md. Narawi Md. Kassim, 67, yang mengalami kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya di Taman Samudera, Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kementerian Pertahanan merangka program untuk mewujudkan peluang kerjaya kedua bagi anggota tentera lain-lain pangkat yang bersara pada usia 40 tahun.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, mulai tahun ini antara fokus kementerian itu ialah memperkasa golongan veteran tentera dengan kerjaya kedua yang lebih baik sama ada dalam bidang keusahawanan atau peluang pekerjaan.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang wajib dilakukan kerana dalam usia 40 tahun tamat perkhidmatan, umur masih muda dan tidak boleh berhenti bekerja.

“Dia (veteran tentera) mesti meneruskan kehidupan dan tanggungjawab Kementerian Pertahanan ialah memastikan mereka mempunyai kerjaya kedua yang cukup atau lebih baik daripada sebelumnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarahi seorang veteran tentera yang koma selepas terbabit kemalangan jalan raya, di Taman Samudera, Seri Manjung di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menyusun semula peluang pekerjaan di dalam Kementerian Pertahanan sendiri sama ada dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat-syarikat swasta yang terkait dengan kementerian itu, termasuk dalam industri pertahanan.

Jelasnya, langkah kedua pula ialah melakukan kerjasama dengan kementerian lain seperti diserapkan dalam tugasan renjer hutan seperti pernah dilakukan sebelum ini tetapi kali ini akan diperkemaskan semula.

Menurutnya, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT) akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM)(JHEV ATM) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan memperkemas perkara tersebut.

“Jadi, jika kita boleh susun dalam tempoh dua atau tiga tahun ini supaya anggota kita apabila tamat berkhidmat, sudah ada kepastian terhadap kerjaya keduanya,” ujar beliau.

Data veteran tentera yang berdaftar dengan JHEV ATM sehingga 31 Mac lalu ialah seramai 108,589 veteran berpencen dan 70,188 veteran tidak berpencen dengan keseluruhan 178,777 orang.

Adly mengulas kenyataan Ahli Parlimen Ketereh yang juga veteran tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor, dalam sebuah portal berita semalam bahawa tiada jaminan kerja bagi anggota tentera selepas tamat berkhidmat pada usia 40 tahun dikatakan antara sebab kenapa rakyat terutama bukan Bumiputera tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan itu.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata di Dewan Negara bahawa orang India, Cina, dan Orang Asli lebih cenderung memilih sektor lain terutama sektor ekonomi dan perniagaan yang menjanjikan keuntungan dan peluang kerjaya yang lebih besar.

Setakat 6 Mac, orang Melayu menyumbang 85.8 peratus anggota tentera, diikuti Bumiputera dari Sarawak dan Sabah masing-masing 7.6 peratus dan 4.3 peratus diikuti India (1.4 peratus), Cina (0.5 peratus) dan Orang Asli (0.4 peratus).

Adly menjelaskan kaum Melayu paling tinggi mungkin pelbagai faktor seperti ekonomi dan peluang mendapatkan pekerjaan lain dengan gaji lebih baik.

Sebagai contohnya, jelas beliau, masyarakat Cina tinggal di bandar yang mana peluang pekerjaan lebih banyak berbanding mereka yang tinggal di luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya