Kerja projek tambak laut hanya bermula selepas EMP lulus - Utusan Malaysia

Kerja projek tambak laut hanya bermula selepas EMP lulus

CHOW Kon Yeow ketika menghadiri Majlis Santai Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kadun Bukit Tambun di Taman Tangling, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: Kerja-kerja pembinaan projek tambak laut Penang South Island (PSI) hanya akan dimulakan selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun menjangkakan kelulusan EMP tidak akan mengambil masa lama sekali gus membolehkan projek berkenaan dimulakan suku ketiga tahun ini.

“Kelulusan EMP dijangka tidak akan mengambil masa panjang seperti kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan ia diuruskan di peringkat negeri.

“Mengikut amalan biasa, ia boleh diluluskan dalam masa mungkin dua bulan, dijangka boleh lah (lulus) sebab setiap agensi pun ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dipatuhi.

“Dalam peringkat ini, jika JAS merasakan EMP yang bakal kita kemukakan masih tidak lengkap, mereka boleh beri maklum balas dan kita akan semak dan tambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santai Aidilfitri Parlimen Batu Kawan dan Kadun Bukit Tambun di Taman Tangling, di sini hari ini.

Kon Yeow sebelum ini mengumumkan EIA bagi projek PSI akhirnya diluluskan JAS dengan 71 syarat yang perlu dipatuhi menerusi surat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 11 April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan kesemua syarat yang ditetapkan dipatuhi bagi melancarkan proses kelulusan EMP.

“Kita akan bentangkan cadangan bagaimana untuk mematuhi syarat-syarat berkenaan dan banyak siri mesyuarat teknikal diadakan.

“Ia bertujuan untuk agensi-agensi berkaitan memberi maklum balas kepada laporan yang jururunding kita sediakan.

“Kita akan minta pakar kaji bagaimana kita nak tunaikan kerana 71 syarat itu sebenarnya bukan perkara baharu dan telah pun dirundingkan di peringkat teknikal, tetapi kita akan muktamadkan bagi memastikan proses kelulusan EMP lancar,” katanya.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Kelulusan EIA bagi projek itu pernah dibatalkan Lembaga Rayuan JAS pada 8 September 2021 sebelum kerajaan negeri mengemukakan permohonan EIA baharu pada 29 April tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya