Kelulusan EIA tidak bermakna projek tambak PSI lulus - PM 

Kelulusan EIA tidak bermakna projek tambak PSI lulus – PM 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) terhadap Penang South Island (PSI) tidak bermakna projek itu akan dibangunkan serta-merta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menyifatkan, banyak lagi proses yang perlu dilalui sebelum projek itu dibenarkan untuk pembangunan.

Justeru, katanya, pihak yang dijangka terkesan dengan pembangunan itu terutama komuniti nelayan tidak perlu terlalu bimbang dengan kelulusan tersebut.

“Perhati keputusannya. Apa keputusannya? Kelulusan EIA dan EIA meluluskan pada prinsipnya dengan 71 syarat jadi kita telitilah.

“Saya dah kemukakan beberapa kebimbangan terutama dari nelayan dan penduduk sama ada nelayan pantai Melayu dan Cina, mereka kata tak sanggup.

“Saya arif perkara ini tetapi biar proses itu berjalan, kalau mereka nak tunggu kata kerajaan, kerajaan dengar, biar kerajaan negeri Pulau Pinang berikan penjelasan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas projek tambakan laut selatan Pulau Pinang atau kini dikenali sebagai PSI memperoleh kelulusan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kelulusan itu adalah berasaskan 71 syarat yang ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Lanjutan daripada kelulusan EIA yang diperoleh ini kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini sedang dalam proses memohon kelulusan pelan pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

Kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh yang mana ia dijangka bermula suku ketiga tahun ini.

Projek PSI adalah projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya