Kelengkapan raya jenama tempatan di FRP 2023

Kelengkapan raya jenama tempatan di FRP 2023

PERSEMBAHAN fesyen menampilkan jenama vendor pakaian tempatan sempena FRP 2023 di Anjung Syawal, Presint 3, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Festival Ramadan Putrajaya 2023 (FRP 2023) melanjutkan operasinya sehingga pukul 5 pagi bermula hari ini bagi memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kelengkapan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada saat-saat akhir.

Pengarah Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd., Shahrul Musa berkata, pihaknya memilih 10 hari terakhir Ramadan bagi lanjutan operasi itu berbanding tamat pukul 12 tengah malam sebelum ini.

Beliau berkata, lanjutan operasi itu memberi peluang kepada 250 vendor FRP 2023 menawarkan harga diskaun dan berpatutan kepada pengunjung.

“Menjelang tiga hari terakhir Ramadan juga, vendor yang mengambil bahagian menawarkan diskaun sehingga 50 peratus menerusi promosi happy hour.

“Lebih 160 vendor menawarkan kelengkapan hari raya termasuk busana raya yang kebanyakannya jenama tempatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis persembahan fesyen di Anjung Syawal FRP 2023 di sini, semalam.

Menurut Shahrul, antara jenama tempatan bertapak di FRP 2023 ialah Elrah Exclusive, Bulan Bintang, Jols Luxe Fabrics, Rimbun KL, Zareeth Zehra, Arma Couture, Ejay Collection dan Muslim Vibe.

Setakat ini, katanya, jumlah pengunjung FRP 2023 semakin bertambah dari hari ke hari dan menggalakkan khususnya pada hujung minggu.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 500,000 pengunjung bagi FRP 2023 kali ini dan yakin ia dapat dicapai menerusi pelbagai program dan aktiviti sepanjang penganjuran festival itu.

“Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Tazkirah Santai menampilkan penceramah terkemuka selain penampilan artis tanah air seperti Mawi, Datuk Nash, Imran Ajmain, Adi Sixth Sense, Adira Suhaimi, Ayu Damit, Shahz Jazle dan Rayme Zainal,” katanya.

PERAGAAN fesyen menampilkan jenama vendor pakaian tempatan sempena FRP 2023 di Anjung Syawal, Presint 3, Putrajaya.

Dalam pada itu, katanya, pengunjung FRP 2023 semalam turut disajikan dengan persembahan fesyen yang menampilkan koleksi busana raya terkini dibawakan jenama pakaian tempatan.

“Tahun ini, kami anjurkan persembahan fesyen yang memperagakan busana raya jenama tempatan. Aktiviti itu diharap dapat memberi peluang kepada pengunjung membuat pilihan pakaian raya masing-masing,” katanya.

FRP 2023 memasuki penganjuran kali ke-11 dan tahun ini dianggap terbesar dengan penyertaan 250 vendor membabitkan ruang niaga sepanjang 470 meter.

Bagi memudahkan pengunjung hadir ke FRP 2023, kadar bayaran bagi tempat letak kereta di sekitar kawasan festival ditetapkan pada kadar RM 1 selepas pukul 3 petang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya