Kebakaran rumah tiada kaitan kumpulan gangster - Utusan Malaysia

Kebakaran rumah tiada kaitan kumpulan gangster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Polis menafikan wujud sebarang unsur gangsterism dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di daerah ini semalam.

Kejadian sekitar pukul 2.06 petang itu menyebabkan kediaman berkenaan mengalami kerosakan di bahagian tingkap dengan kerugian dianggarkan RM3,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan oleh pasukan forensik bomba tidak menemukan bahan pencetus kebakaran di lokasi kejadian.

Sebaliknya beliau berkata, insiden itu berpunca daripada kain di dalam kereta sorong yang diletakkan berhampiran tingkap di hadapan rumah.

“Kes ini bagaimanapun telah ditularkan oleh seorang wanita di laman sosial Facebook dengan mendakwa insiden itu mempunyai kaitan dengan suaminya yang cedera dipukul.

“Wanita itu juga mendakwa, insiden kebakaran itu merupakan ugutan dan ancaman untuknya memandangkan rumahnya berada selang sebuah dari lokasi kebakaran,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Omar Bakhtiar, siasatan yang dijalankan bagaimanapun mendapati kejadian kebakaran itu tidak mempunyai kaitan dengan kes suami wanita terbabit.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta agar tidak memberikan komen yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan membangkitkan pecah keamanan.

“Kes ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial milik wanita berkenaan mendapati terdapat beberapa hantaran yang dimuat naik dan penstriman langsung merujuk kepada gangguan oleh kumpulan samseng yang didakwa memukul suaminya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya