Kadar Khas Bayaran Saman sebulan bermula 21 April

Kadar Khas Bayaran Saman sebulan bermula 21 April

BAGI memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei depan bagi semua saman trafik kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun ini.

Walaupun begitu, kata beliau, PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap optimum terutamanya pada musim perayaan.

“Maka, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Aidilfitri ini, PDRM akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini dan esok dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.

“Selanjutnya, Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April ini bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’,” katanya dalam sidang akhbar perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri, di sini hari ini.

Anwar berkata, bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspot’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas.

Selain itu, beliau memberitahu, Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

Kata beliau, ikhtiar ini memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya