PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Lina Samuel yang dilaporkan meninggal dunia pagi ini akibat kanser kolon tahap empat.
JPN dalam kenyataan berkata, pihaknya berharap keluarga mendiang diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan tersebut.
Menurut JPN, pihaknya sudah berjumpa dan melakukan beberapa perkara untuk membantu mendiang atas dasar keprihatian dan kebajikan.
“JPN sudah bertemu dengan mendiang dan membuka semula kertas siasatan bagi kes beliau. JPN juga mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April.
“Malah, menurut kenyataan rasmi Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak (Dr Ooi Choo Huck) pada 12 April juga memaklumkan mendiang tetap diberikan perkhidmatan rawatan sewajarnya di Hospital Miri, Sarawak.
“Rawatan secara berterusan diberikan tanpa sebarang prejudis walaupun semasa tempoh ketiadaan dokumen pengenalan diri tersebut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pesakit kanser wanita berhadapan kesulitan apabila kad pengenalan dirinya (MyKad) dirampas oleh JPN sejak November tahun lalu.
Bagaimanapun, Choo Huck dalam kenyataan beliau sebelum ini menjelaskan bahawa mendiang tetap menerima dan tidak dinafikan rawatan untuknya.
Sementara itu, JPN turut menyeru orang ramai yang mempunyai persoalan atau masalah berkaitan hal-hal pendaftaran sama ada urusan kelahiran, kad pengenalan, kematian, perkahwinan dan kewarnegaraan untuk hadir ke pejabat jabatan tersebut.
“Segera hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan.
“Orang ramai juga boleh memperolehi maklumat berkaitan perkhidmatan Jabatan ini di portal dan pelbagai platform media sosial rasmi JPN,” katanya. – UTUSAN