MANCHESTER: Manchester United menewaskan Athletic Bilbao 4-1 dalam saingan separuh akhir kedua Liga Europa pagi ini sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 7-1 untuk mengatur pertembungan final menentang Tottenham Hotspurs.
Letupan bunga api dan asap merah memenuhi udara di Old Trafford selepas kemenangan mengagumkan 3-0 ke atas Athletic yang bermain dengan 10 orang di Sepanyol minggu lalu.
Namun, suasana keterujaan turut diselubungi kebimbangan memandangkan pasukan bimbingan Ruben Amorim itu telah menunjukkan kecenderungan untuk merudum secara mengejut dalam musim Liga Perdana Inggeris yang mengecewakan.
Amorim kembali menggunakan barisan pemain yang bermula pada perlawanan pertama, membuat lapan pertukaran selepas kekalahan 4-3 kepada Brentford Ahad lalu.
Dani Vivian digantung selepas kad merah yang diterimanya minggu lalu, manakala jurulatih Ernesto Valverde turut berdepan kekangan apabila kehilangan khidmat adik-beradik Nico dan Inaki Williams serta penjaring terbanyak Oihan Sancet.
Mikel Jauregizar mengejutkan penyokong tuan rumah dan memberi harapan kepada pasukan pelawat dengan satu rembatan menakjubkan pada minit ke-31.
Untuk tempoh yang panjang dalam perlawanan, pasukan pelawat kelihatan lebih berbahaya, tetapi pemain gantian Mason Mount menenangkan penyokong tuan rumah dengan jaringan 18 minit sebelum tamat.
Perlawanan berubah sepenuhnya apabila Casemiro, Rasmus Hojlund dan sekali lagi Mount menjaringkan gol.
Kemenangan itu memberi nafas kepada United dalam usaha mereka mendapatkan gelaran daripada musim yang suram ini.
Menjuarai kejohanan kelab tier kedua Eropah ini amat penting kerana ia menjamin tempat dalam Liga Juara-Juara, yang akan meningkatkan peluang United untuk menarik pemain bertaraf tinggi, selari dengan usaha besar Amorim untuk membina semula pasukan.
United adalah pilihan utama untuk melengkapkan tugas di laman sendiri, tetapi Athletic yang dilanda kecederaan masih menyimpan rasa tidak puas hati selepas Vivian dilayangkan kad merah di Sepanyol.
Mereka menguasai sebahagian besar penguasaan bola pada awal permainan tetapi gagal mencipta peluang yang jelas dan kelihatan gugup apabila diserang oleh pasukan tuan rumah.
Pemain tengah Athletic, Alex Berenguer, mempunyai peluang awal yang baik selepas barisan pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola, namun rembatan melengkungnya tersasar ke atas palang ketika dia menyasarkan sudut atas gawang.
Pemain tengah itu mencipta satu lagi peluang selepas larian deras di pertengahan separuh masa, tetapi rembatan dari luar kotak penalti tersasar dari tiang gol yang dikawal Andre Onana.
Dalam pada itu Tottenham terus menghidupkan harapan mereka untuk menamatkan kemarau trofi selama 17 tahun dan menyelamatkan Ange Postecoglou daripada dipecat apabila menewaskan Bodo/Glimt 2-0.
Selepas menang 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu, pasukan bimbingan Postecoglou yang bergelut berjaya bertahan dalam perlawanan timbal balik dalam suasana angin kencang di Norway.
Dominic Solanke dan Pedro Porro menjaringkan gol pada separuh masa kedua, sekali gus memastikan kemenangan agregat 5-1 untuk Tottenham dan tempat mereka dalam perlawanan akhir di Bilbao pada 21 Mei ini. – AFP/UTUSAN










