Jiwa sebagai wakil rakyat masih kuat - Tajuddin - Utusan Malaysia

Jiwa sebagai wakil rakyat masih kuat – Tajuddin

TAJUDDIN Abdul Rahman (kiri) menyampaikan sumbangan peribadi kepada seorang mangsa ribut di Kampung Air Kuning, Pasir Salak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih turun padang menziarahi dan memberikan sumbangan peribadi kepada penduduk yang kediaman mereka rosak akibat ribut dua hari lalu di Kampung Air Kuning di sini hari ini.

Tajuddin, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang digantung keahliannya selama enam tahun berkata, beliau terpanggil untuk melihat keadaan penduduk di kawasan Parlimen Pasir Salak yang ditimpa bencana alam itu sebaik sahaja mendapat maklumat mengenainya.

Menurutnya, berdasarkan lawatan beliau di lokasi kejadian, ribut yang berlaku dua hari lalu itu menyebabkan 11 buah rumah rosak termasuk ada yang diterbangkan atapnya.

“Walaupun saya tak jadi wakil rakyat lagi, tidak lagi sebagai Ketua Bahagian (UMNO), apabila saya dapat berita mengenai kejadian ribut di sini, saya terpanggil, tak sampai hati kalau saya buat tak tahu sahaja terhadap apa yang berlaku.

“Disebabkan itu saya buat keputusan malam tadi untuk turun juga hari ini, jadi jiwa itu, jiwa sebagai wakil rakyat itu masih ada.

“Jawatan dan nama sahaja tiada tetapi dari segi semangat nampaknya masih kuat lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, dalam program ziarah hari ini, beliau sempat melawat lima buah rumah yang terjejas akibat ribut manakala baki enam buah rumah lagi mengalami kerosakan kecil.

Beliau berkata, beliau turut memberi sedikit sumbangan peribadi kepada penduduk yang dilawatinya.

“(Saya) Tak jadi wakil rakyat, mana ada peruntukan. Jadi, sumbangan peribadi sedikit sebanyak yang saya bagi. Ada yang RM500, ada yang RM300, tengok keadaan.

“Baki enam buah rumah lagi, saya bagi kepada wakil untuk sampaikan sedikit bantuan yang saya boleh bagi kepada mereka,” katanya.

Tajuddin yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak sepanjang tiga penggal sejak 2008, digantung keahlian selama dua penggal atau enam tahun.

Tajuddin bagaimanapun mengemukakan rayuan namun rayuannya daripada digantung keahlian dalam UMNO ditolak.

Pada Jun lalu, Tajuddin dipecat daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana dikatakan mengkritik parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya