SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedang melaksanaakan penggunaan mesin kiraan kehadiran jemaah ke masjid bagi tujuan pengumpulan data.
Menjadi satu-satunya mesin seumpamanya di negara ini, ia salah satu kaedah kiraan jemaah ke masjid selain penggunaan kiraan secara manual yang dijalankan oleh ahli jawatankuasa sesebuah masjid sebelum ini.
Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, penggunaan mesin berkenaan adalah selari dengan Pelan Peningkatan Jemaah Masjid Negeri Sembilan (Jemaah) 2023-2024.
Jelasnya, ia diwujudkan bagi menyemarakkan lagi aktiviti solat berjemaah selain mengoptimumkan usaha peningkatan jemaah masjid.
“Mesin ini dapat mengimbas keluar masuk jemaah ke ruang masjid termasuk mengkategorikan kanak-kanak mahupun orang dewasa. Data dan bilangan tersebut kemudian akan dibekalkan secara langsung dan terus ke dalam satu sistem dan ia boleh dilihat menerusi aplikasi di dalam telefon pintar.
“Menerusi pelan yang kami wujudkan itu, setiap masjid akan menghantar jumlah kehadiran jemaah mereka pada setiap waktu solat, penggunaan mesin ini salah satu usaha yang dapat membantu pihak masjid untuk tujuan berkenaan.
“Berdasarkan data yang diperoleh, pelbagai program boleh dirangka oleh pihak jabatan dan masjid termasuk menerusi program yang sedia ada di dalam pelan berkenaan bagi meningkatkan kehadiran jemaah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Mohd. Zaidi, buat permulaan, mesin dikenali dengan nama Smart Jemaah tersebut dipasang di lapan buah masjid di negeri ini dan kemudiannya akan diteruskan di masjid-masjid lain mengikut kemampuan sesebuah masjid tersebut.
“Tahun lalu berdasarkan data yang dikumpulkan kehadiran secara purata jumlah jemaah bersolat jemaah di masjid-masjid di Negeri Sembilan adalah seramai 52,000.
“Menerusi pelan yang kami sediakan tersebut, sasaran diletakkan adalah dengan peningkatan 100 peratus iaitu seramai 124,000 orang jemaah pada tahun ini,” katanya.
Mohd. Zaidi berkata, mesin kiraan jemaah tersebut hasil ciptaan inovasi pensyarah dan pelajar Kolej Komuniti Kuala Pilah yang telah memenangi pertandingan inovasi dianjurkan JHEAINS pada 2019.
“Mesin ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa dengan harapan suatu masa nanti inovasi tersebut bukan sahaja dapat mengira kehadiran jemaah malah dapat mengenal pasti jemaah masjid mengikut kategori seperti lelaki mahupun wanita serta usia jemaah,” katanya. – UTUSAN