PETALING JAYA: Bakal jemaah haji diminta memuat turun sendiri aplikasi Saudi Visa Bio pada telefon pintar masing-masing.
Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan penggunaan aplikasi tersebut bagi tujuan permohonan visa haji bakal haji ke Arab Saudi tahun ini.
Katanya, ia merangkumi empat proses iaitu melengkapkan alamat e-mel, emuatnaik imbasan muka surat butiran peribadi dalam pasport Malaysia, imbasan muka dan imbasan 10 jari (biometrik).
“Bakal haji akan menerima emel pengesahan pendaftaran daripada Kementerian Luar Arab Saudi apabila maklumat peribadi telah berjaya dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut melalui emel yang didaftarkan.
“Bakal haji juga diingatkan untuk terus menyerahkan pasport mereka kepada TH setelah mendapat pengesahan ini bagi TH memproses visa haji bakal haji berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Aplikasi Saudi Visa Bio diperkenalkan oleh Arab Saudi pada musim haji tahun ini bertujuan untuk memudahkan permohonan visa selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan bakal haji ke Tanah Suci melalui Jeddah dan Madinah.
Malaysia merupakan antara lapan negara terawal di dunia selain Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Kuwait, United Kingdom, Tunisia dan Morocco yang dipilih untuk projek perintis ini.
Ia mengambil kira reputasi Malaysia sebagai antara pengendali haji terbaik dunia yang telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan dari kerajaan Arab Saudi. – UTUSAN










