PETALING JAYA: Pegawai dan anggota polis diingatkan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket dadah dan jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, isu integriti adalah tidak terlibat dengan sindiket dadah, sebarang perlakuan jenayah dan lain-lain aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ketua jabatan diingat untuk meningkatkan penyeliaan kepada semua pegawai dan anggota di bawah seliaan masing-masing.
“Tindakan tegas perlu diambil dan tidak bertoleransi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku semasa atau di luar penugasan,” katanya dalam Facebook rasmi JSJN hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan berharap semua ketua jabatan kekal komited dan ikhlas menjalankan tugas yang diamanahkan dan semoga JSJN terus cemerlang dalam membanteras dadah musuh nombor satu negara.
Untuk rekod, Ayob Khan diumumkan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April ini. – UTUSAN