Ittifaqiyah: Penangguhan bantuan tak ikut prosedur

Ittifaqiyah: Penangguhan bantuan tak ikut prosedur

PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur terbakar dalam kejadian pada September 2017. - GAMBAR FAIL/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penangguhan bantuan ke atas Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (Ittifaqiyah) didakwa dilakukan secara semberono kerana tidak mengikut prosedur sepatutnya.

Menurut sumber yang juga bekas kakitangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Utusan Malaysia, penangguhan bantuan kepada Ittifaqiyah dibuat secara tidak sah.

“Bagaimana pengurusan hari ini boleh membuat keputusan menggunakan ‘mulut’ mereka sahaja dan keluarkan surat tanpa membuat perbincangan dalam mesyuarat? Itu tidak betul.

“Bantuan diberikan kepada Ittifaqiyah diputuskan melalui mesyuarat, memang ada buktinya. Jadi jika mahu hentikan perlu mengikut prosedur sama,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ittifaqiyah yang dihantui oleh peristiwa hitam apabila sekolah tersebut terbakar pada 2017 sehingga kehilangan 23 nyawa warganya kini seperti ‘jatuh ditimpa tangga’.

Ini kerana walaupun akaun Ittifaqiyah itu sudah dibekukan kerana sekumpulan ibu bapa bertindak menyaman mereka, pusat tahfiz tersebut terus beroperasi sehingga hari ini tanpa bantuan kewangan daripada pihak berwajib selepas insiden tersebut berlaku.

Melalui dokumen yang ditujukan kepada Utusan Malaysia, Ittifaqiyah sejak 2015 menerima peruntukan kewangan dalam bentuk bantuan.

Sumber berkata, sekiranya Ittifaqiyah diberi bantuan secara ‘one-off’ tidak ada sebab untuk MAIWP melaksanakan proses audit ke atas pusat tahfiz tersebut.

“Kenapa pula Ittifaqiyah yang diberi bantuan secara one-off atau derma itu diaudit seolah-oleh menerima bajet pengurusan? Adakah ada niat tersembunyi di sebalik tindakan diambil itu.

“Jika Ittifaqiyah menepati kriteria sepatutnya, mereka perlu beri bantuan. Kita tidak boleh nafikan hak mereka terutama golongan asnaf yang belajar di sana dan sudah menjadi tanggungjawab MAIWP membantu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN