IRAMA lapor polis klip video Cak Kun Cak Raya

IRAMA lapor polis klip video Cak Kun Cak Raya

Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abdul Majid hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi membuat laporan polis berhubung klip video pendek lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Tindakan usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri memuat naik klip video pendek lagu raya berjudul Cak Kun Cak Raya nyanyiannya bukan sahaja melanggar budaya dan tatasusila masyarakat, malah menghina kemuliaan bulan Ramadan.

Presiden Persatuan Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid berkata, penampilan ahli perniagaan itu bersama lima penari yang berpakaian baju Melayu ketat dalam keadaan terkinja-kinja juga dilihat tidak sopan untuk dipertontonkan kepada umum.

Malah, kata beliau, tindakan seumpama itu juga boleh merosakkan nilai dan tradisi baju Melayu.

“Justeru itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap video klip berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini bagi tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat.

“Klip video berkenaan dilihat menyalahi undang-undang bukan saja pakaiannya menghina baju Melayu, malah perlakuannya sangat keterlaluan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kata Ayob berkata, pihak polis juga telah memintanya merujuk laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Katanya, dia juga akan menghantar surat kepada pihak Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat ini bagi mendesak membuat pindaan Akta SKMM sedia ada kepada hukuman denda yang lebih tinggi dan penjara.

“Kalau kita lihat, banyak klip video lain pernah dikeluarkan sebelum ini yang mana kandungan klip video yang keterlaluan dan menggusarkan orang ramai.

“Ini kerana, hukuman denda sedia ada tidak begitu berkesan dan tegas sehingga mereka tidak takut dan mengulangi perbuatan sama,” jelasnya.

Tambah Ayob, dia juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu perbadanan khusus untuk memantau industri muzik di negara ini. 

Katanya, perbadanan ini penting untuk mengawal selia industri muzik agar lebih teratur dan tersusun seperti mana peranan yang dimainkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam memantau industri filem.

“Kami (IRAMA) telah lama memperjuangkan perkara ini sejak kerajaan terdahulu lagi. Difahamkan, usul  itu telah diluluskan oleh Parlimen namun sehingga sekarang tiada inisiatif tambahan ke arah itu

“Sekurang-kurangnya wujudkanlah satu jawatankuasa sementara untuk memantau industri muzik sehingga satu perbadanan ditubuhkan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noordellhan Yahaya ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mengenai laporan berkenaan. 

Kata beliau, kes berkenaan akan diklasifikasikan sebagai rujuk kepada agensi lain (ROA) untuk tindakan selanjutnya.

“ROA ke Kementerian Komunikasi dan Digital,” katanya secara ringkas. -utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN