Ikatan nikah 9 tahun Puteri Sara, Syamsul akhirnya terlerai

Ikatan nikah 9 tahun Puteri Sarah, Syamsul akhirnya terlerai 18 April ini

SYAMSUL Yusof dan Puteri Sarah Liyana (kanan) ketika bertemu di ruang menunggu selepas mendengar keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes penceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam. – FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ikatan sembilan tahun perkahwinan pasa­ngan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dan suaminya, Syamsul Yusof  akhirnya akan terlerai 18 April ini.

Ia selepas pasangan itu mencapai kata sepakat untuk berpisah secara baik hasil pertemuan selepas berbuka puasa bersama ahli keluarga semalam (Ahad).

Kata sepakat itu juga dimaklumkan kepada Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas oleh peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Ka­der pada sebutan permohonan cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini semalam.

“Alhamdulilah hari ini (sema­lam) kita ada berita baik untuk berkongsi yang mana kedua-dua pihak berjumpa serta berbincang berhubung isu perceraian. Pihak-pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara baik dan satu draf perjanjian telah disediakan namun penelitian perlu kami lakukan kerana baharu sahaja menerima (draf) pagi semalam.

“Oleh itu, kami memohon agar mahkamah ini tangguhkan dahulu dapatan Jawatankuasa Pendamai (JKP) kerana insya-Allah pada tarikh akan datang pihak-pihak akan merekodkan penyelesaian dan terus membubarkan pernikahan antara de­fendan (Syamsul) dan plaintif (Sarah),” katanya.

Perkata itu turut disahkan oleh peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Syamsul.

“Kami mengesahkan apa yang dinyatakan oleh peguam plaintif (Sarah), tanpa mempre­judiskan prosiding kes ini satu perjanjian telah disediakan namun memohon maaf kerana perjanjian ini baharu disediakan memandangkan pihak-pihak ba­ru berjumpa malam tadi (semalam).

“Alhamdulilah, (pihak-pihak) telah mencapai satu sepakat atas terma-terma dan tentang perjanjian tersebut kita serahkan kepada pihak plaintif dan kami cadangkan tarikh sebutan yang singkat pada minggu depan untuk merekodkan persetujuan (pen­ceraian),” kata Azmi.

Terma-terma penyelesaian adalah berkaitan hadanah (hak penjagaan anak), nafkah anak-anak, mutaah, idah dan harta sepencarian.

Selain itu, dengan penyelesaian tersebut, Syamsul akan menarik balik tuntutan nusyuz terhadap Sarah manakala Sarah tidak akan memfailkan nusyuz terhadap suaminya itu.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 18 April ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Sarah dan merekodkan terma-terma penyelesaian.

Pada prosiding semalam, mah­kamah sepatutnya men­de­ngar hasil pertemuan wakil-wa­kil pasangan itu dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diadakan pada 23 Mac lalu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa men­tuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.

Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014.

Sarah memfailkan permohonan cerai secara baik pada 16 Januari lalu dengan alasan tidak dapat hidup sebagai suami isteri, tiada persefahaman, terdapat tekanan dan gangguan daripada pihak ketiga dan hubungan sulit Syamsul serta telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Permohonan cerai itu dibuat mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz ter­hadap Sarah atas alasan wa­nita itu masih berhubung de­ngan bekas kekasihnya di zaman kolej yang kini berstatus suami orang.

Keesokan harinya, Sarah ‘membalas’ dengan membuat permohonan hadanah penuh bagi kedua-dua anak mereka, Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×